Superintendan Norhizam Bahaman.
Superintendan Norhizam Bahaman.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: "Setiap hari saya melihat pesakit baru masuk ke PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19) Maeps ini, tolonglah semua jaga diri dan SOP (prosedur operasi standard)".

Demikian rayuan Komander Keselamatan di PKRC Bersepadu di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) Serdang, Superintendan Norhizam Bahaman.

Beliau bersama 127 anggota polis lain ditugaskan untuk menjaga keselamatan di PKRC itu daripada kemasukan orang luar dan keselamatan penghuni di situ.

Norhizam berkata, dianggarkan 4,000 pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala ringan dirawat di PKRC itu setakat hari ini.

"Setiap hari saya melihat ada kemasukan pesakit baru, kasihanilah petugas kesihatan kita yang kini tidak menang tangan menguruskan pesakit. Saya mahu berpesan kepada masyarakat di luar sana, apa kerajaan buat dan minta kita jaga SOP, patuhilah.

"Jika boleh, elak daripada memasuki PKRC Maeps ini dan menjadi sebahagian daripada statistik Kementerian Kesihatan (KKM)," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau yang bertugas di Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor berkata, kebanyakan mereka yang ditempatkan di PKRC Maeps itu adalah pesakit Covid-19 bergejala ringan.

"Kebanyakan mereka selepas menjalani 10 hari tempoh kuarantin, akan dibenarkan pulang dan keadaan ini kami lihat hampir setiap hari.

"Keluar pesakit lama, masuk pesakit baru, seolah-olah tidak habis," katanya.

Menurutnya, angka kes positif yang semakin meningkat begitu membimbangkan semua pihak terutama pasukan barisan hadapan di situ.

"PKRC Maeps ini boleh menempatkan sehingga 7,000 pesakit, tetapi kasihanilah petugas barisan hadapan kesihatan yang bertungkus lumus kerja tanpa henti, saya yang lihat pun kesian dengan mereka.

"Diharap dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini dapat menurunkan jumlah pesakit Covid-19 seterusnya membebaskan negara daripada pandemik ini," katanya.

Terdahulu, data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menunjukkan trend peningkatan kes kekal berada pada tahap membimbangkan apabila melebihi unjuran KKM yang meramalkan kes harian berisiko mencecah 5,000 awal bulan depan, khususnya jika kebolehjangkitan atau Ro meningkat kepada 1.2.

Setakat semalam, Ro untuk seluruh negara naik kepada 1.14 berbanding 1.13 sebelumnya.

Bagaimanapun, trend lonjakan kes baharu Covid-19 ketika ini menghampiri angka 4,855 semalam, menunjukkan jumlah kes harian berisiko mencecah 5,000 lebih awal daripada unjuran KKM.

Kes harian Covid-19 kembali mencatat peningkatan sejak awal bulan lalu hingga mencecah lebih 2,000 pada pertengahan April, dan terus melonjak kepada lebih 3,000 kes pada 28 April lalu.

Kelmarin, pertama kali kematian tertinggi Covid-19 dicatatkan negara iaitu 39 kematian dalam diikuti semalam membabitkan 27 kematian.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 3:45 PM