GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Malaysia kini bukan sahaja berhadapan dengan ledakan kes harian baharu Covid-19 tetapi juga perlu 'berperang' dengan varian koronavirus yang lebih ganas dan mampu mencetuskan kadar jangkitan serta kematian yang lebih tinggi.

Malah kadar kes harian baharu dijangkakan boleh mencecah sehingga lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini memberitahu sidang media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berusaha mengawal penularan kes membabitkan varian dari United Kingdom, Afrika Selatan, Brazil dan India.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menetapkan empat varian berkenaan sebagai 'varian yang membimbangkan' (VOC) di peringkat global.

Menurut Dr Noor Hisham, varian yang paling banyak dikesan di negara ini adalah dari Afrika Selatan (varian South African B.1.351.) dan kes Covid-19 daripada jangkitan varian berkenaan dikesan menular di beberapa negeri iaitu Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan dan Perak.

Sehingga kini, sebanyak 62 kes positif Covid-19 dikesan membabitkan varian South African B.1.351. sementara varian dari India (B.1.617) yang dikesan setakat ini membabitkan dua kes (B.1.617.1 dan B.1.617.2) dan seorang daripadanya sudah meninggal dunia.

Menurut penjelasan Dr Noor Hisham, kes B.1.617.2, adalah bukan warganegara tiba di Malaysia pada 7 April dan kedua-dua ujian Covid-19 (pada 7 April dan 12 April) didapati negatif.

Beliau dilaporkan positif pada 21 April dan meninggal dunia pada 1 Mei lalu.

Mengenai varian Brazil, beliau berkata, KKM setakat ini belum mengesan kes Covid-19 jangkitan varian berkenaan.

Untuk rekod, pada 11 Januari lalu, KKM memaklumkan pihaknya mengesan satu kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 membabitkan pengembara dari Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada Disember 2020.

Pengembara itu didapati positif Malaysia sebelum ini menyekat kemasukan pengembara dari Nepal, Bangladesh, Sri Lanka dan Pakistan, sebagai susulan tambahan sekatan penerbangan dari dan ke India, berikutan kebimbangan penularan Covid-19.

Dr Noor Hisham turut menekankan bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dikuatkuasakan dari 12 Mei hingga 7 Jun depan adalah antara usaha untuk mengekang penularan varian baharu yang mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kematian yang tinggi.

Malah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Perutusan Sempena Hari Raya Aidilfitri, yang turut menyentuh perkembangan mutakhir penularan Covid-19 menyebut "Malaysia kini berada pada titik genting" dan penularan varian baharu harus disekat.

Dijangkakan jumlah kes harian akan mencecah lima angka dalam tempoh beberapa minggu akan datang."

Menurut Perdana Menteri lagi, hampir semua kawasan di negara ini bertukar menjadi "merah" dengan hampir kira-kira 70 peratus kes jangkitan berlaku secara sporadik (penularan dalam komuniti) dan hampir 80 peratus kes positif dikesan tidak mempunyai sebarang gejala.

Lonjakan kes baharu dan kes kematian

Sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama (8 Mei hingga 13 Mei 2021), Malaysia merekod lonjakan kes harian baharu Covid-19 Malaysia melebihi 3,000 dan menghampiri 5,000 kes di samping kes kematian yang tinggi.

Sehingga jam 12 tengah hari semalam,Malaysia merekod sebanyak 4,855 kes harian baharu Covid-19, iaitu tertinggi sepanjang tempoh rangkuman ini.

Terdapat dua hari kes harian mencatat sekitar 4,000 iaitu pada Sabtu 8 Mei (4,519 kes) dan Rabu 12 Mei (4,765 kes).

Kes aktif dengan kebolehjangkitan yang dicatat semalam melonjak kepada 41,582 kes, sementara kes kumulatif pula sudah sebanyak 458,077 kes.

Berikut adalah bilangan kes harian baharu yang dicatat sepanjang tempoh Rangkuman Mingguan Bernama 8 Mei hingga 13 Mei 2021:-

8 Mei ( 4,519 kes ), 9 Mei ( 3,733 kes), 10 Mei (3,807 kes), 11 Mei ( 3,973 kes), 12 Mei ( 4,765 kes) dan 13 Mei ( 4,855 kes).

Sementara itu, sebanyak 27 kes kematian lagi dilaporkan semalam 13 Mei 2021, menjadikan kes kumulatif kematian sebanyak 1,788 kes, kesemuanya warganegara.

Kes kematian tertinggi untuk tempoh rangkuman dilaporkan pada Rabu 12 Mei iaitu 39 kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 1:00 PM