Nurul Hidayah Bahaudin dan Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Jumlah kes baharu Covid-19 terus mencatatkan peningkatan dengan 4,519 kes serta 25 kematian, hari ini

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, lima kes import dilaporkan, manakala 4,514 kes lagi membabitkan penularan tempatan, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 436,944 kes dengan jumlah kes aktif 36,564 kes.

"Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu 1,722 kes diikuti Kuala Lumpur (557 kes) dan Sarawak (479 kes).

"Terdapat 393 kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 210 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 2,719 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 398,723 kes atau 91.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
KETUA Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

Beliau berkata, 25 kematian dilaporkan hari ini membabitkan 24 individu tempatan serta seorang warga asing berusia antara 54 hingga 88 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kronik.

Katanya, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 1,657 kes atau 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Sebanyak 1,775 kluster dilaporkan setakat ini termasuk 16 kluster baharu.

"Sebanyak 1,346 kluster dilaporkan tamat, manakala 429 kluster aktif dikesan.

"Antara kluster baharu dikesan hari ini adalah Kluster Kampung Kebun Sayur dilaporkan di Johor, Kluster Jalan Desaru (Johor), Kluster Jalan Lima Puluh Satu (Selangor), Kluster Jalan Padang Golf (Selangor), Kluster Jalan Stadium 2 (Kuala Lumpur/Selangor), Kluster Pasar Borong KL 3 (Kuala Lumpur), Kluster Jalan Era (Negeri Sembilan) dan Kluster Jalan Limbungan Jaya (Melaka).

"Selain itu, Kluster Bechah Palas (Kelantan), Kluster Lorong Kubur (Kelantan), Kluster Jelalong (Sarawak), Kluster Dah Putih (Kedah) Kluster Rantau Siantan (Pahang), Kluster Keramat (Sabah), Kluster Jalan Mawar 20 (Johor) dan Kluster Jalan Batu Maung (Pulau Pinang)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 5:52 PM