GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

New Delhi: Seorang penuntut jurusan perubatan yang menjadi rakyat pertama di India dilaporkan positif Covid-19, dijangkiti virus itu untuk kali kedua.

Wanita dari Kerala itu disahkan dijangkiti Covid-19 sebaik pulang dari Wuhan, China, pada Januari, tahun lalu iaitu tempatnya melanjutkan pelajaran.

India Today melaporkan, menurut pegawai perubatan daerah (DMO), dalam kes kedua itu, penuntut terbabit tidak mengalami sebarang gejala.

Dia memutuskan untuk melakukan kuarantin kendiri di rumah dan diawasi dengan teliti.

Wanita berusia 20 tahun dari daerah Thrissur dilaporkan menerima keputusan ujiannya pada 13 Julai lalu.

Pegawai yang mengetahui perkara itu juga mengatakan penuntut itu belum menerima dos pertama vaksin Covid-19.

India menyaksikan penurunan berterusan dalam kes Covid-19 sejak gelombang kedua jangkitan menular awal tahun ini.

Bagaimanapun, pakar menjangkakan kenaikan mendadak pada nilai kebolehjangkitan (R-Naught) di beberapa bahagian negara termasuk Kerala dan timur laut.

Nilai R adalah petunjuk berapa orang yang boleh dijangkiti oleh seorang pesakit Covid-19.

Dalam kes Kerala, nilai R dianggarkan sekitar 1.10.

Nilai R keseluruhan India dianggarkan 1.37 ketika puncak gelombang kedua jangkitan Covid-19 antara 9 Mac dan 21 April tahun ini.

Ketika berucap di media pada hari Ahad, Menteri Kesihatan Kerala, Veena George mengatakan lonjakan kes baru-baru ini disebabkan kelonggaran beberapa sekatan Covid-19.

Pada Selasa, Kerala melaporkan 14,539 kes Covid-19 baharu, selain 10,331 kes pulih dan 124 kematian akibat pandemik itu.

Kerala mempunyai 1,15,174 kes aktif Covid-19 dengan angka pemulihan di Kerala sekarang berada pada 95.89 peratus dan kadar kematian kes (CFR) pada 0.48 peratus.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Julai 2021 @ 9:52 AM