PENGUAT KUASA memeriksa mainan yang tidak mematuhi standard keselamatan. FOTO Ihsan KPDNHEP
PENGUAT KUASA memeriksa mainan yang tidak mematuhi standard keselamatan. FOTO Ihsan KPDNHEP
Nurul Hidayah Bahaudin


Seri Kembangan: Sebanyak 78 unit mainan kanak-kanak dianggarkan bernilai RM4,832 yang dijual di sebuah pusat beli-belah di sini, dirampas kerana tidak mematuhi standard keselamatan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, rampasan dibuat hasil serbuan, hari ini oleh empat pegawai penguat kuasanya susulan aduan orang awam.

"Dalam serbuan itu, kami mendapati mainan kanak-kanak yang dijual tidak mempunyai pelekat keselamatan pematuhan standard (MC) sekali gus gagal membuat deklarasi bahawa barang itu selamat.

"Susulan itu, kami menyita 78 unit mainan kanak-kanak daripada seorang lelaki yang bertanggungjawab terhada[ premis dan tindakan mengikut Peraturan-peraturan Perlindungan Pengguna (Perakuan Pematuhan Dan Tanda Pematuhan Standard Keselamatan) 2010 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Zikril berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Perlindungan Pengguna 1999 kerana menawarkan apa-apa barang atau perkhidmatan yang tidak mematuhi standard keselamatan yang ditentukan di bawah Seksyen 19.

"Selain itu, kes turut disiasat mengikut Peraturan 4 (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu pemilik produk perlu membuat deklarasi bahawa mainan itu mematuhi standard keselamatan dalam bentuk suatu perakuan pematuhan dikeluarkan mengikut cara ditentukan oleh pengawal.

"Jika sabit kesalahan, pihak berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 bagi perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Bagi mana-mana pertubuhan perbadanan, pihak terbabit boleh didenda tidak melebihi RM100,000 jika sabit kesalahan," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan mengenai kesalahan berkaitan boleh menghubungi pihaknya di talian 1-800-886-800 atau mesej menerusi WhatsApp ke 019-2794317.

"Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi kami melalui portal eaduan.kpdnhep.gov.my atau hubungi talian 03- 8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC) atau hadir di mana-mana pejabat KPDNHEP berhampiran untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 10:32 PM