Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril (tengah) melakukan pemeriksaan di stesen minyak sempena Ops Nozel di Sungai Burong, FOTO Ihsan KPDNHEP
Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril (tengah) melakukan pemeriksaan di stesen minyak sempena Ops Nozel di Sungai Burong, FOTO Ihsan KPDNHEP
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor memberi jaminan bekalan petrol dan diesel di negeri ini mencukupi.

Jaminan diberi hasil pemeriksaan di semua stesen minyak di negeri ini sejak Januari lalu.

Pengarah KPDNHEP Selangor Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pemeriksaan itu bertujuan memastikan bekalan berkenaan sentiasa mencukupi untuk jualan harian.

“Sebanyak 140 hingga 150 stesen minyak di negeri ini diperiksa setiap minggu oleh tujuh cawangan KPDNHEP Selangor.

“Untuk setiap cawangan (KPDNHEP Selangor), kita tetapkan dua pasukan yang akan bergerak serentak dengan pecahan dua pasukan yang akan memeriksa lapan hingga 10 stesen minyak secara berkala,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan Ops Nozel di sebuah stesen minyak di Sungai Burong malam tadi.

Dalam pada itu, beliau berkata, hasil pemantauan dan pemeriksaan mendapati semua pengusaha stesen minyak mematuhi peraturan ditetapkan.

“Setakat ini, kita tidak menerima aduan berkaitan ketidakpatuhan mana-mana stesen minyak dalam melaksanakan arahan kerajaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan pengusaha stesen minyak tidak mematuhi peraturan boleh membuat aduan kepada kami,” katanya.

Menurut Zikril Azan, pihaknya turut mengedarkan surat arahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kepada pengusaha stesen minyak.

“Mereka (pengusaha stesen minyak) selaku peniaga berlesen perlu bertanggungjawab dalam memastikan bekalan sentiasa mencukupi untuk jualan harian di premis masing-masing,” katanya.

Menurut Zikril Azan, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pengusaha stesen minyak yang gagal mematuhi syarat terkandung dalam lesen runcit barang kawalan mengikut Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1974 yang mana, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Bagi kesalahan kedua, denda RM3 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Mac 2020 @ 3:46 PM