GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa diminta meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan serta memberi denda yang berat bagi mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika amalan ziarah pada 1 Syawal ini.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, menjadi tugas rakyat, komuniti dan individu bagi mematuhi SOP bagi bersama melandaikan kes jangkitan Covid-19.

"Secara idealnya, amalan ziarah ini tidak sepatutnya dibenarkan, namun atas pertimbangan sosial, keluarga dan sentimen rakyat, keputusan ini dikira baik dan prihatin. Ini kerana kita takut aktiviti ziarah akan menyumbang kepada peningkatan kes jangkitan.

"Memang terdapat kemungkinan kes jangkitan akan naik jika pematuhan SOP tidak diikuti sepanjang amalan ziarah kerana takut akan tercetusnya kluster Aidilfitri," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, beliau juga berharap supaya masyarakat tidak mengambil kesempatan dengan melanggar SOP.

"Budaya ziarah ini sudah menjadi kelaziman dan budaya kita sejak dulu lagi dan disebabkan itu kerajaan terpaksa membenarkan amalan ziarah dengan skop lebih kecil.

"Diharap semua pihak mengikuti garis panduan SOP yang ditetapkan dan paling penting elakkan bersalaman atau berpelukan ketika ziarah dilakukan.

"Walaupun kita rasa diri sihat dan sudah divaksin, namun sebolehnya elakkan melakukan sebarang kontak kerana potensi sebagai pembawa virus itu masih ada," katanya ketika dihubungi.

Tiga hari lalu, kerajaan mengumumkan bahawa amalan ziarah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan pada 1 Syawal, manakala kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan sehingga 3 Syawal.

Manakala jumlah pengunjung bagi ziarah pula dinyatakan tidak boleh melebihi 15 orang untuk kawasan PKP, tidak melebihi 20 orang bagi kawasan PKPB dan 25 orang bagi kawasan PKPP pada satu-satu masa.

Bagaimanapun, kerajaan tidak membenarkan penganjuran rumah terbuka di seluruh negara dan takbir dari rumah ke rumah termasuk dilarang melakukan amalan menziarahi kubur di kawasan PKP dan PKPD.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 5:11 PM