GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kerajaan setuju memberi kelonggaran bagi pembukaan sektor pelancongan dan kebudayaan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) bermula esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri berkata, aktiviti berkenaan bagaimanapun masih tidak dibenarkan di kawasan PKP dan PKP Diperketatkan (PKPD).

Menurutnya, ia termasuk aktiviti pelancongan rentas negeri dan aktiviti pelancongan dalam negeri yang membabitkan pelancong asing tidak dibenarkan.

"Antara aktiviti dibenarkan di kawasan PKPB adalah produk tarikan pelancong seperti zoo, farms, akuarium, pusat edutainment, taman rekreasi dan ekstrem.

"Begitu juga premis hasil seni, budaya dan warisan seperti muzium, perpustakaan, galeri seni, pusat budaya, pentas persembahan dan lain-lain serta taman tema dan pusat hiburan keluarga.

"Aktiviti berikut dibenarkan beroperasi dengan 50 peratus kapasiti premis dan mematuhi penjarakan fizikal, mewajibkan pemakaian pelitup muka dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lain," katanya dalam sidang media hari ini.

Bagi kawasan PKPP, Ismail Sabri berkata, semua aktiviti pelancongan dan kebudayaan itu dibenarkan beroperasi dengan mematuhi penjarakan fizikal.

Katanya, aktiviti pelancongan dan kebudayaan selain di bawah senarai negatif perlu mengikut SOP sektor pelancongan dan kebudayaan sedia ada yang sedang berkuatkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, majlis rasmi dan tidak rasmi kerajaan serta swasta termasuk majlis sosial seperti kenduri, majlis perkahwinan, pertunangan, aqiqah, sambutan ulangtahun tidak dibenarkan di kawasan PKP manakala PKPB dan PKPP dibenarkan.

"Begitu juga seminar, bengkel, kursus, latihan, persidangan, ceramah, mesyuarat, pameran, perdagangan dan aktiviti berkaitan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Februari 2021 @ 7:21 PM