Suraya Roslan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Solat sunat Aidilfitri tahun ini dibenarkan di seluruh negeri kecuali bagi kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu diputuskan dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang bersidang bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), selain mengambil kira nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagaimanapun, katanya, kebenaran itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Amalan ziarah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula hanya dibenarkan pada 1 Syawal, manakala kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan sehingga 3 Syawal.

"Namun bagi kawasan PKPD tidak dibenarkan untuk amalan ziarah sehingga tamat tempoh," katanya dalam sidang media mengenai PKP, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, jumlah pengunjung bagi ziarah tidak boleh melebihi 15 orang untuk kawasan PKP, manakala tidak melebihi 20 orang bagi kawasan PKPB dan 25 orang bagi kawasan PKPP pada satu-satu masa

Katanya, jumlah tetamu itu juga tertakluk kepada saiz kediaman.

Sementara itu, beliau menjelaskan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan penganjuran rumah terbuka di seluruh negara dan takbir dari rumah ke rumah.

GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA

Turut dilarang adalah amalan menziarahi kubur di kawasan PKP dan PKPD.

Namun kunjungan selama 30 minit bagi individu tidak melebihi enam orang bagi setiap lot kubur dibenarkan kawasan PKPB dan PKPP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 6:06 PM