GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kelonggaran diberikan kerajaan dengan membenarkan aktiviti ziarah terhad kepada 15 orang untuk satu masa bagi sebuah rumah sangat berisiko dan berbahaya serta boleh mewujudkan kluster baharu membabitkan sambutan Aidilfitri.

Demikian kegusaran diluahkan Pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun mengenai prosedur operasi standard (SOP) sambutan Aidilfitri diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Berdasarkan pengumuman dibuat kerajaan, ziarah Aidilfitri dibenarkan dengan kehadiran 15 orang tetamu bagi satu masa di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) manakala di lokasi PKP Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) dibenarkan kehadiran terhad 20 tetamu selama tiga hari.

Dr Hanafiah berkata, potensi jangkitan dan penyebaran secara besar-besaran boleh berlaku dan diharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula SOP itu.

"Bayangkan, jika saya pergi ke satu rumah dalam tempoh sejam dan jumpa 10 orang dalam satu masa, kemudian dalam tempoh lapan jam saya boleh beraya di lapan rumah, maka saya berpotensi jumpa 80 orang.

"Ini baru saya seorang, cuba bayangkan kalau 8,000 orang yang melakukan kaedah sama, mungkin berlaku 80,000 jangkitan satu masa dan sudah pasti sistem kesihatan kita akan lumpuh," katanya kepada Metro Ahad.

Menurutnya, jika Malaysia mencapai kes baharu melebihi 5,000 sehari pastinya sistem kesihatan negara akan lumpuh.

"Sebelum ini, ketika pelaksanaan PKP 2.0 kita pernah mencapai 5,000 kes sehari dan hampir lumpuh. Sekarang ini kes kita lebih 4,000 kes, Unit Rawatan Rapi (ICU) kita sudah melebihi kapasiti 92 peratus.

"Kalau capai lebih 5,000 kes, bayangkan macam mana kita mahu menghadapinya, kita kena bersedia dengan kadar kematian yang tinggi disebabkan ICU sudah tiada," katanya.

Menurutnya, kelonggaran diberikan kerajaan untuk satu rumah boleh menerima 15 tetamu satu-satu masa cukup bahaya dan berpotensi menyebabkan jangkitan besar berlaku.

"Masalah kita bukan kita tak nak bagi beraya atau saya anti hari raya, tetapi isu sekarang mengenai kadar pematuhan SOP terutama penjarakan fizikal dan bersalaman dan berpelukan, ini yang kita jangka akan berlaku.

"Penetapan 15 orang satu-satu masa sebenarnya syarat longgar dan bahaya sebab walaupun diberi satu hari saja bagi kawasan PKP dan tiga hari bagi PKPB dan PKPP, saya tidak boleh bayangkan berapa banyak potensi penyebaran jangkitan.

"Kemungkinan untuk jadi kluster sambutan hari raya sangat besar disebabkan pengumpulan majlis sosial dalam sebuah rumah, sedangkan masjid dan surau yang ada penjarakan fizikal pun boleh ada kluster, ini lagilah dalam rumah di mana orang bersilih ganti bebas keluar masuk dengan penggunaan balang kuih raya yang sama," katanya.

Katanya, begitu juga dengan pematuhan pelitup muka kemungkinan akan diabaikan jika tetamu berbual.

"Siapa nak berbual sambil makan dengan memakai pelitup muka, ini kita cerita potensi boleh berlaku dan akhirnya kita perlu bersedia berdepan dengan kemungkinan lebih buruk termasuk PKP lebih ketat dengan penutupan semua sektor.

"Saya yakin jika kes melepasi angka 5,000 hingga 6,000 sehari, pastinya kerajaan tiada pilihan selain melakukan 'total lockdown' dan pastinya kesan kepada ekonomi lebih teruk," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 3:50 PM