Foto hiasan
Foto hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin

Sungai Besar: Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menutup operasi sekolah di Selangor bermula hari ini sehingga cuti Aidilfitri bertujuan memenuhi permintaan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan pergerakan dalam komuniti berikutan peningkatan kes positif Covid-19.

Timbalan Menteri Pendidikan I Muslimin Yahaya berkata, keputusan itu dicapai dalam sidang khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negara (Selangor).

"Perkara (penutupan sekolah) itu dipersetujui KPM bagi mengelakkan berlaku risiko jangkitan Covid-19 di peringkat sekolah.

"Untuk itu, KPM sentiasa komited untuk memastikan penularan virus ini dapat dikurangkan di peringkat sekolah," katanya.

Muslimin ditemui di majlis berbuka puasa bersama petugas barisan hadapan di sini, hari ini.

Sementara itu, Muslimin berkata, kira-kira 170,000 murid di asrama perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang ditetapkan.

"Cuti penggal ini beri risiko besar kepada pelajar asrama.

"Cara paling selamat mereka (pelajar asrama) ini tidak berada pada situasi risiko jangkitan Covid-19," katanya.

Menurutnya, sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) membabitkan kira-kira lima juta pelajar di seluruh negara akan dilaksanakan selama dua minggu persekolahan selepas cuti Aidilfitri.

"Langkah ini diambil bagi mengurangkan risiko jangkitan yang mungkin berlaku di luar sekolah ketika musim perayaan.

"KPM memberi keutamaan kepada keselamatan dan kesihatan pelajar supaya tidak berisiko dijangkiti Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 11:44 PM