SAHRUDDIN (berdiri dua dari kiri)  bersama Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim (berdiri kanan)  dan Presiden Kelab Media Johor,  Mohamad Fauzi Ishak (berdiri dua dari kanan) beramah mesra dengan wakil media yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Bersatu Johor, malam tadi.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
SAHRUDDIN (berdiri dua dari kiri) bersama Timbalan Pengerusi Bersatu Johor, Senator Md Nasir Hashim (berdiri kanan) dan Presiden Kelab Media Johor, Mohamad Fauzi Ishak (berdiri dua dari kanan) beramah mesra dengan wakil media yang menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Bersatu Johor, malam tadi. FOTO Nur Aisyah Mazalan
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Pas dan Gerakan akan memulakan rundingan pengagihan kerusi dalam masa terdekat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Setiausaha Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, mesyuarat itu akan dimulakan sebaik mendapat lampu hijau daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bersatu Johor, Pas dan Gerakan akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi pembahagian kerusi sebaik saja pucuk pimpinan memberi kebenaran.

"Setakat ini kami masih belum mempunyai formula agihan berapa setiap parti dapat.

"Namun kami akan pastikan perbincangan dilakukan dengan strategi terbaik dan semua parti akan berpuas hati," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa anjuran Bersatu Johor dan Kelab Media Johor (KMJ), malam tadi.

Pada 11 Februari lalu, Gerakan menjadi parti politik terbaharu diterima menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau dilaporkan berkata, pihaknya menerima surat pengesahan yang ditandatangani Muhyiddin yang juga Pengerusi PN.

Ditanya sama ada Umno Johor akan menyertai rundingan itu berikutan Bersatu Johor menyokong parti berkenaan menubuhkan kerajaan negeri selepas kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) Februari tahun lalu, Dr Sahruddin berkata, pihaknya sentiasa membuka pintu kerjasama.

Bagaimanapun, katanya tiada rundingan dilakukan bersama Umno Johor pada masa ini.

"Apatah lagi maklum balas Umno kebelakangan ini lebih banyak menghentam Bersatu dan pemimpin kami selain secara terbuka mahu memutuskan hubungan.

"Jika lihat kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno Johor, Datuk Hasni Mohammad pun memberi gambaran tiada kerjasama dengan PN.

"Maka PN Johor bersiap sedia menghadapi PRU-15 sama ada akan ada perlawanan dua penjuru atau tiga penjuru, kami akan bersiap sedia untuk menghadapinya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 10:46 AM