TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Iskandar Puteri: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke persidangan hari pertama Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gambir tiba jam 9.30 pagi.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) duduk di barisan sama dengan dua bekas Menteri Besar iaitu Datuk Osman Sapian (Bersatu-Kempas) dan Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu-Bukit Kepong).

Muhyiddin pernah menjadi Menteri Besar Johor ke-13 pada 1986 hingga 1995 selepas memenangi kerusi Dun Bukit Serampang.

Pembukaan rasmi Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Keempat Dun Johor ke-14 hari ini akan disempurnakan oleh titah ucapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

Hari pertama Persidangan Dun Johor hari ini menjadi perhatian, susulan perkembangan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan selepas Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dilaporkan sebulat suara menarik sokongan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin pada 3 Ogos lalu.

Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan empat negeri diterajui PN membabitkan Johor, Melaka, Kedah dan Perak.

Johor menjadi negeri pertama yang membuka semula sesi persidangan Dun selepas ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

Terdapat 56 kerusi di Dun Johor dengan agihan terkininya adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (12), MIC (dua), Pas (satu) sementara Amanah (enam) dan PKR pula (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 29 kerusi, berbanding 27 kerusi di blok pembangkang.

Ia selepas Bersatu memberikan sokongan kepada Umno untuk menerajui kerajaan Johor berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh pada Februari tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 10:53 AM