MUHYIDDIN (duduk tengah) bersama Dr Sahruddin (kiri) pada sidang media di Pejabat BERSATU Pagoh, hari ini. FOTO Adi Safri.
MUHYIDDIN (duduk tengah) bersama Dr Sahruddin (kiri) pada sidang media di Pejabat BERSATU Pagoh, hari ini. FOTO Adi Safri.
Badrul Kamal Zakaria


PAKATAN Harapan (PH) belum membuat keputusan mengenai calon akan mewakili parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.

Bagaimanapun, Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan sudah mempunyai beberapa nama sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk diterima dan diputuskan sebagai calon kelak.

“Hari ini (mesyuarat PH Johor) tak ada lagi (keputusan mengenai calon). Itu satu perkara kita ambil perhatian pada mesyuarat hari ini.

“Kita sudah ada beberapa nama (sebagai calon), tetapi kita masih ada masa (untuk meneliti) dan selepas itu kita akan putuskan mana yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh di Muar, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Majlis Presiden PH berkata, calon dipilih mewakili parti itu pada PRK Tanjung Piai membabitkan individu popular, berhemah, berpendidikan dan mungkin anak tempatan kawasan berkenaan.

“Kita akan kemukakan kepada pimpinan tertinggi PH untuk diterima dan diputuskan kelak," katanya.

Ditanya sama ada BERSATU akan bertanding pada PRK berkenaan, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, setakat ini pihaknya berpegang kepada apa yang diputuskan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) lalu.

“Setakat ini, kita berpegang dengan apa diputuskan pada PRU lepas kecuali ada keputusan baharu dibuat pihak pimpinan tertinggi.

“Kita kata kerusi (Parlimen Tanjung Piai) adalah kerusi ditandingi BERSATU, tetapi pada pertandingan esok (PRK Tanjung Piai) kita tak kata BERSATU kerana ini adalah PH," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin turut mengumumkan Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilantik sebagai Pengarah Jentera PH bagi PRK Tanjung Piai.

Beliau berkata, PH Johor berharap kepemimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu dapat membantu PH memperoleh kemenangan, sekali gus mengekalkan kerusi parlimen itu.

“Dr Sahruddin akan dibantu Liew, Syed Ibrahim, Aminolhuda dan Mazlan.

“Bagi peringkat kawasan pula, Ketua Bilik Gerakan PH (untuk PRK Tanjung Piai) akan digalas Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dari PH-BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri membantu PH merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) pada PRU-14.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Wee mendapat 20,731 undi manakala Nordin dengan 2,962 undi.

  • Lagi berita berkaitan PRK Tanjung Piai
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:01 PM