GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 17 kluster baharu penularan jangkitan Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia membabitkan tujuh kluster komuniti, lima kluster tempat kerja, empat kluster sektor pendidikan termasuk satu kluster institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan satu kluster keagamaan.

Empat kluster pendidikan, katanya, ialah Kluster Dah Kilometer Tujuh (Kedah), Kluster Lubuk Katak (Perak), Kluster D'Kuala (Sabah) dan Kluster Jalan Ungku Abdul Aziz (Johor).

"Kluster Dah Kilometer Tujuh membabitkan daerah Baling. Kes indeks iaitu kes ke-411444 dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Mei 2021 hasil saringan pra pembedahan.

"Kluster ini membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah pusat pendidikan di Kilometer 7, Kampung Tandop, Baling.

"Sehingga 4 Mei 2021, sejumlah 32 individu disaring, 13 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Kluster Lubuk Katak membabitkan daerah Batang Padang dan kes indeks bagi kluster iaitu kes ke-407956) adalah kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 30 April 2021.

Menurutnya, kluster membabitkan pelajar institusi pendidikan di Kampung Lubuk Katak, Tapah, Batang Padang itu dikesan mempunyai 24 kes positif daripada sejumlah 63 individu disaring setakat ini.

"Kluster D'Kuala membabitkan daerah Papar. Kes indeks kluster iaitu kes ke-409514 dilaporkan positif Covid-19 pada 1 Mei 2021 hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini melibatkan pelajar sebuah sekolah yang terletak di Jalan Kuala, Papar. Sehingga 4 Mei 2021, sejumlah 440 individu disaring, di mana 16 kes dikesan positif," katanya.

Kluster Jalan Ungku Abdul Aziz pula, katanya, adalah kluster institusi pendidikan KPM yang daerah Kota Tinggi dan kes dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 3 Mei 2021 hasil saringan bersasar.

Katanya, saringan bersasar itu membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah institusi pendidikan di Jalan Ungku Abdul Aziz, Bandar Penawar, Pengerang, Kota Tinggi.

"Sehingga 4 Mei 2021, sejumlah 175 individu disaring, di mana 22 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Sementara itu, katanya, sejumlah 1,706 kluster sudah dikesan di Malaysia setakat hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak 1,301 kluster sudah tamat tiada lagi penularan jangkitan Covid-19 termasuk 10 kluster yang tamat hari ini.

"Perincian 10 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Jalan Murni Satu, Kluster Fasa Dua Semarak, Kluster Gong, Kulim, Kluster Jalan Gemilang Sukan, Kluster Batu 22, Kluster DTI Juru, Kluster Lintang Bayan Lepas, Kluster Jalan Pelabuhan, Kluster Integrasi Rawang Tiga, dan Kluster Padang Hijau.

"Jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah sebanyak 405 kluster. Jumlah kluster dengan pertambahan kes baharu pada hari ini membabitkan 98 kluster.

"Kluster-kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Pagar Sri Lalang (57 kes), Kluster Putai (49 kes), dan Kluster Pintu Air Relau (33 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 7:13 PM