GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Tujuh kluster baharu penularan Covid-19 dikenal pasti, hari ini membabitkan tiga kluster tempat kerja, dua kluster pusat tahanan dan masing-masing satu kluster komuniti dan kluster pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster pendidikan adalah Kluster Sri Layang membabitkan kakitangan institusi pendidikan di Sri Layang, Bentong, Pahang.

Katanya, setakat ini 420 individu disaring, di mana 16 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster itu.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-360,790) dilaporkan positif Covid-19 pada 11 April 2021 hasil saringan individu bergejala," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau menjelaskan, kluster tempat kerja pula adalah Kluster Jalan Sultan Iskandar (institusi awam di Bintulu, Sarawak), Kluster Jalan Balakong (saringan pekerja syarikat pembinaan di Jalan Balakong, Seri Kembangan, Hulu Langat) dan Kluster Jalan Kia Peng yang membabitkan pusat hiburan menular daerah Lembah Pantai, Kepong dan Cheras.

Selain itu, katanya, Kluster DTI Sandakan, Sabah dan Kluster DTI Lenggeng, Negeri Sembilan adalah dua kluster pusat tahanan.

"Kluster komuniti pula adalah Kluster Jepak membabitkan daerah Bintulu di Sarawak. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-355,287) dilaporkan positif Covid-19 pada 8 April 2021 hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan sebuah majlis yang berlangsung di Kampung Jepak, Bintulu pada 3 April 2021.

"Sehingga 16 April 2021, sejumlah 402 individu disaring dan daripada jumlah itu 50 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Keseluruhan, katanya, terdapat 1,507 kluster direkodkan di Malaysia dan daripada jumlah itu 1,161 kluster sudah tamat termasuk tujuh yang tamat hari ini.

Mengulas lanjut kluster yang tamat adalah Kluster Jalan Daun, Kluster Jalan Besar Kepong, Kluster Sungai Puteh, Kluster Jalan Kebun Nenas, Kluster Industri TTJ, Kluster Persiaran Hemisfera, dan Kluster Lorong Usaha Utama.

"Sejumlah 346 kluster masih aktif direkodkan.

"Kluster dengan pertambahan kes baharu tertinggi pada hari ini adalah Kluster Jalan Puncak Borneo (315 kes), Kluster Jalan Bambangan (99 kes), dan Kluster DTI Sandakan (55 kes)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 6:40 PM