MOHD Naharudin Isa bersama produknya di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass.
MOHD Naharudin Isa bersama produknya di Angsana Mall Johor Bahru. FOTO Mary Victoria Dass.
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Demi membantu peniaga pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta menampung permintaan yang meningkat mendadak, pelopor biskut raya secara komersial, Mohd Naharudin Isa, 51, berkongsi peluang perniagaan pada Ramadan tahun ini.

Mohd Naharudin atau dikenali sebagai Nahar berkata, sejak pembukaan sempadan antarabangsa, dia tidak menang tangan apabila produknya, biskut raya berjenama Nahar Power di Angsana Mall Johor Bahru menerima sambutan baik.

Nahar yang mengusahakan produk berkenaan sejak 25 tahun lalu berkata, lebih 60 peratus pelanggannya terdiri daripada pelancong Singapura dan mereka juga memborong biskut raya untuk ahli keluarga dan kenalan di negara berkenaan.

Menurutnya, pada tahun ini dia menawarkan 60 jenis kuih tradisional dan moden serta biskut raya yang dibuat sendiri dengan harga RM18 (satu balang) hingga RM32 selain hamper kuih raya berharga RM130.

"Antara biskut yang laris dijual termasuk red cherry, pistachio, dahlia susu, tart nanas, bangkit cheese, suji, chocolate chip, rempeyek, tumpi, popia mini, bangkit santan, batang buruk dan semperit

"Alhamdulilah dengan prestasi perniagaan yang meningkat, saya dapat berkongsi peluang perniagaan dengan beberapa peniaga terutama warga emas dan peniaga luar bandar.

"Secara tidak langsung ia juga membolehkan mereka menambah pendapatan keluarga pada Ramadan ini. Saya pastikan produk mereka lazat, berkualiti, kemas dan selesa dihidangkan kepada tetamu ketika Aidilfitri," katanya.

Nahar berkata, tidak seperti peniaga lain yang fokus kepada jualan dalam talian, dia pula menekankan kaedah jualan seperti biasa kerana ingin bertemu pelanggan dan mendapatkan maklumbalas.

"Ia membolehkan kami sentiasa menambah baik produk supaya ia bukan saja lebih lazat, berkualiti malah selesa dihidangkan kepada tetamu pada Aidilfitri.

"Saya berharap kerancakan aktiviti jualan berterusan dan melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu menyumbang kepada ekonomi negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 10:35 PM