MOHD Hanafi raih  pendapatan dua kali ganda sepanjang Ramadan.
MOHD Hanafi raih pendapatan dua kali ganda sepanjang Ramadan.
 ARIF  membungkus kurma sebagai persiapan menjelang Ramadan esok.
ARIF membungkus kurma sebagai persiapan menjelang Ramadan esok.
HM Digital

Kuala Lumpur: Meskipun bahang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) belum berakhir, majoriti umat Islam di negara ini tidak lupa untuk membuat persiapan awal bagi menyambut kedatangan 1 Ramadan, esok.

Pelbagai persiapan dilakukan warga kota untuk menyambut 1 Ramdan, terutama dalam kalangan suri rumah atau kaum ibu yang keluar membeli barangan untuk menyediakan juadah bersahur dan berbuka.

Selain itu, peniaga juga turut melakukan persiapan dengan memastikan stok jualan seperti kurma, biskut dan baju raya untuk menyambut Aidilfitiri dalam jumlah mencukupi serta sudah diterima daripada pembekal.

Peniaga kurma yang juga pengusaha kendera saji, Mohd Hanafi Hassan, 27, berkata, menjelang Ramadan jumlah keuntungan diperoleh lebih tinggi berbanding hari biasa.

“Pada hari biasa, pendapatan kami mencecah RM10,000 untuk seluruh kawasan, Alhamdulillah menjelang Ramadan ini ia meningkat dua kali ganda.

“Mungkin kerana kebiasaan orang ramai yang sudah sinonim apabila puasa mesti ada kurma menyebabkan permintaan agak menggalakkan,” katanya.

Bagi penjual biskut, Norul Huda Abdul Hadi, 40, berasal dari Pahang berkata, meskipun Ramadan belum bermula, jualannya meningkat dan di luar jangkaan.

Sehingga semalam, jumlah tempahan diterima Norul Huda sudah mencapai 6,000 balang. Berikutan itu, dia terpaksa mengupah pembantu untuk melancarkan urusan penjualan.

“Tempahan dijangka lebih memberangsangkan, menjelang Aidilfitri. Saya memulakan perniagaan ini menggunakan wang bantuan Baitulmal berjumlah RM3,000.

“Alhamdulillah perniagaan kini bertambah maju dan saya berhasrat membuka sebuah kios selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Sementara itu peniaga kurma di Masjid India, Arif Juana, 20, berkata, dia menawarkan pelbagai jenis kurma yang diimport dari negara Arab.

“Setiap rumah wajib ada kurma. Umat Islam mengikut Sunah Nabi Muhammad SAW yang menjamah kurma ketika berbuka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mei 2018 @ 6:47 AM