GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan mengesan 13 kluster jangkitan Covid-19 berkaitan aktiviti rentas negeri sejak April lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia termasuk satu kluster di Kelantan yang dikesan berkaitan varian Afrika Selatan membabitkan 10 individu.

Beliau berkata, kluster itu adalah Kluster Kabu di Kedah yang berasal dari Pulau Pinang; Kluster Taman Malim Jaya di Melaka (berasal dari Selangor); Kluster Jalan Gapam di Negeri Sembilan (berasal dari Melaka); Kluster Taman Rakyat diTerengganu (berasal dari Sabah); Kluster Kampung Domis, Kelantan (berasal dari Selangor); Kluster Kampung Bunut Sarang Burung, Kelantan (berasal dari Kuala Lumpur); Kluster Seri Kuantan, Pahang (berasal dari Kuala Lumpur); Kluster Pengkalan Batik, Melaka (berasal dari Selangor); Kluster Taman Changkat, Perak (berasal dari Selangor); Kluster Jalan Kesidang, Kluster Kota Shahbandar dan Kluster Air Budi yang dikesan di Melaka dan berasal dari Perak, Selangor dan Kuala Lumpur serta Kluster Jarang Emas, di Melaka dan dikesan berasal dari Selangor.

"Berikutan itu, aktiviti rentas negeri tidak akan dibenarkan hingga 17 Mei ini sehingga pengumuman seterusnya.

"Untuk kategori sub-kluster komuniti, berdasarkan kepada jumlah kes yang kita perolehi, ia membabitkan kontak rapat atau kontak keluarga.

"Ada yang berlaku di majlis pengkebumian, majlis keraian, majlis perkahwinan, sambutan perayaan, majlis pertunangan, dan juga banjir, selain apa yang berlaku di Sarawak iaitu yang berlaku di rumah panjang seperti gotong royong, aktiviti pengkebumian, dan juga aktiviti kemasyarakatan," katanya pada sidang media mingguan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Dr Adham berkata, setakat 1 Mei lalu, 1,669 kluster dilaporkan.

Beliau berkata, terdapat 86 kluster baharu dilaporkan pada minggu ke-17 dengan 25 daripadanya (29.1 peratus) membabitkan komuniti; 24 (27.9 peratus) institusi pendidikan; 24 (27.9 peratus) tempat kerja; tujuh (8.1 peratus) aktiviti keagamaan; tiga (3.5 peratus) pusat tahanan dan tiga (3.5 peratus) daripada kumpulan berisiko tinggi.

Katanya, setakat 1 Mei, kadar kebolehjangkitan di negara ini adalah pada paras 1.01.

"Sejak 3 April lalu, nilai Rt sentiasa melebihi paras 1.0 dan ia mencerminkan potensi untuk jangkitan berterusan virus SARS-CoV-2," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 5:26 PM