GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 13,336 kes positif baharu semalam, menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti Covid-19 di negara ini kini sebanyak 4,152,203 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada kes yang dilaporkan semalam, sebanyak 13,147 kes penularan tempatan dikesan membabitkan 12,530 warganegara dan 617 bukan warganegara.

Beliau berkata, daripada 189 kes import yang dilaporkan semalam, seramai 179 adalah rakyat Malaysia dan 10 adalah warga asing.

Katanya, KKM turut melaporkan sebanyak 25,552 kes sembuh, menyumbang kepada sejumlah 3,896,489 kes yang sudah pulih daripada jangkitan Covid-19 atau 93.8 peratus daripada keseluruhan kes.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 288 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 185 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Daripada 13,336 kes harian yang dilaporkan semalam, sebanyak 6,885 kes atau 51.63 peratus dalam kategori 1; kategori 2 merekodkan sebanyak 6,340 kes (47.54 peratus); kategori 3 dengan 43 kes (0.32 peratus); kategori 4 dengan 32 kes (0.24 peratus); dan kategori 5 membabitkan 36 kes (0.27 peratus).

"Daripada 111 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dilaporkan semalam, sebanyak 29 kes (26.13 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi; 43 kes (38.74 peratus) adalah individu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak

(booster); dan 39 kes (35.14 peratus) sudah menerima dos penggalak.

"Sebanyak 64 kes (57.66 peratus) berusia 60 tahun dan ke atas; dan 60 kes (54.05 peratus) mempunyai komorbid," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM turut mengesan dua kluster baharu jangkitan, menjadikan kini sebanyak 6,929 kluster yang direkodkan setakat semalam.

Beliau berkata, ketika ini sebanyak 6,712 kluster sudah ditamatkan dan 217 kluster masih aktif.

Katanya, sehingga semalam, nilai kadar kebolehjangkitan (Rt) negara pada paras 0.92 dengan Selangor mencatatkan nilai Rt tertinggi pada paras 1.08.

Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 0.94; Perak (0.93); masing-masing 0.92 di Melaka dan Sarawak; Pulau Pinang (0.86); Negeri Sembilan (0.85); Putrajaya (0.84); masing-masing 0.80 di Johor, Pahang dan Perlis; Terengganu (0.78); masing-masing 0.76 di Kedah dan Labuan; Kelantan (0.71) dan Sabah (0.65).

Sementara itu, beliau berkata, peratusan penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes Covid-19 membabitkan katil kes kritikal atau ICU menyaksikan negeri menunjukkan pengisian lebih 50 peratus iaitu Selangor dengan 55 peratus daripada 86 katil yang diperuntukkan dan Johor dengan 52 daripada 58 katil.

Katanya, empat negeri menunjukkan peratusan pengisian katil bukan ICU melebihi 50 peratus iaitu Putrajaya (87 peratus); Selangor (68 peratus); Kuala Lumpur (53 peratus), dan Melaka (51 peratus.

Dr Noor Hisham berkata, pesakit Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) juga menunjukkan penurunan kepada 185 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 21 peratus.

"Sebanyak 847 kes Covid-19 dimasukkan ke hospital semalam dengan 375 kes (44.3 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 472 kes (55.7 peratus) adalah kategori 1 dan 2," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2022 @ 11:50 AM