GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
Rafidah Mat Ruzki

Putrajaya: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 83 kluster jangkitan Covid-19 dalam Sektor Pendidikan di Malaysia sejak 1 Januari lalu hingga kelmarin.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, kesemua kluster itu membabitkan sejumlah 4,868 kes seperti dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kebangsaan KKM.

Beliau berkata, sebanyak 49 (59.04 peratus) daripada keseluruhan kluster yang direkodkan, dengan 2,617 kes masih aktif ketika ini.

"Manakala 34 (40.96 peratus) kluster dengan 2,251 kes diisytiharkan tamat.

"Daripada jumlah kluster itu juga, sebanyak 39 (46.99 peratus) kluster dengan 1,420 kes membabitkan sub-kategori Sekolah/ Institusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 19 (22.89 peratus) kluster dengan 1,870 kes daripada sub-kategori Pendidikan Tinggi dan 25 (30.12 peratus) kluster dengan 1,578 kes bagi sub-kategori Pendidikan Lain," katanya tadi.

Dr Adham berkata, KKM sentiasa bekerjasama dengan semua pihak sektor pendidikan dalam pencegahan, kawalan dan menangani penularan jangkitan.

Beliau berkata, sebaik pihaknya melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri menerima laporan berkenaan kejadian kes positif Covid-19 atau kluster Covid-19, pasukan kesihatan dari PKD akan digerakkan untuk menjalankan siasatan, pengesanan kontak, langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan serta penilaian risiko.

Pada masa sama katanya, PKD juga akan menasihati pihak pengurusan pendidikan menjalankan kerja pembersihan dan disinfeksi di premis masing-masing.

"Selain itu sebarang keperluan dan arahan penutupan sementara kelas atau premis akan dipertimbangkan, selepas penilaian risiko dilakukan PKD," katanya.

Dr Adham berkata, langkah itu bertujuan mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga sektor pendidikan termasuk pelajar, guru, pekerja yang bertugas dan seterusnya kepada komuniti.

"KKM menyambut baik komitmen semua Sektor Pendidikan dalam memastikan pelajar dan pelatih tidak ketinggalan mengikuti pembelajaran dan latihan secara berterusan dengan selamat.

"Oleh itu KKM ingin mengingatkan semua pihak untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dalam menangani penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata, semua pihak terutama dalam Sektor Pendidikan disarankan sentiasa mengamalkan nasihat umum kementerian itu sebelum, semasa, dan selepas waktu pembelajaran atau latihan.

"Langkah-langkah pencegahan dan kawalan itu adalah amalan pemakaian pelitup muka pada setiap masa; memastikan penjarakan fizikal diamalkan; sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau 'hand sanitiser' serta menjaga kebersihan persekitaran sekolah.

"Semua individu juga perlu memastikan bahawa mereka sihat dan tidak bergejala ketika hadir ke tempat pembelajaran.

KKM menasihatkan mereka yang tidak sihat untuk segera mendapat rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran," katanya.

Dr Adham berkata, bagi institusi pendidikan yang dijangkiti Covid-19, pihak pengurusan hendaklah segera memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk tindakan pencegahan dan kawalan.

"Kerjasama padu KKM dengan kerjasama semua pihak dalam Sektor Pendidikan akan terus dipertingkatkan bagi memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga sektor pendidikan terus terjaga," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 2:58 PM