GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mingguan kes harian baharu Covid-19 untuk Rangkuman 6 Ogos-12 Ogos 2022 menurun kepada 27,028 kes, berbanding 28,141 kes untuk tempoh mingguan 30 Julai-5 Ogos 2022.

Sepanjang tempoh rangkuman ini, angka kes harian baharu berada di bawah paras 5,000 dengan yang tertinggi sebanyak 4,896 kes pada 10 Ogos 2022.

Semalam, 3,943 kes harian baharu dilaporkan termasuk satu kes import. Terdapat empat kes kematian pesakit Covid-19, menjadikan jumlah kematian untuk tempoh Rangkuman ini sebanyak 61 kes. Kumulatif kes kematian negara akibat Covid-19 setakat ini sebanyak 36,070 kes.

Menurut data COVIDNOW Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 11.59 malam 12 Ogos 2022, daripada 3,943 kes, hanya Selangor mencatat kes empat angka iaitu sebanyak 1,035.

Sembilan negeri mencatat kes tiga angka iaitu WP Kuala Lumpur (953), Sabah (354), Perak (330), Negeri Sembilan (295), Melaka (168), Pulau Pinang (156), Sarawak (129), Johor (118) dan Kedah (103).

Kes dua angka dilaporkan di Pahang (90), Kelantan (71), WP Putrajaya (69), Terengganu (40), WP Labuan (19) dan Perlis (13).

Sementara itu, sebanyak 4,645 kes sembuh Covid-19 dilaporkan sehingga 11.59 malam 12 Ogos 2022, menjadikan kes kumulatif sembuh sebanyak 4,646,723 kes.

Sepanjang tempoh Rangkuman Bernama ini, KKM melaporkan lima kluster baharu iaitu satu pada 6 Ogos (kumpulan berisiko tinggi-Perak), satu pada 9 Ogos (pendidikan-Perak) dan tiga pada 10 Ogos (kumpulan berisiko tinggi 1-Pulau Pinang, pendidikan 1-WPKuala Lumpur dan tempat kerja 1-WPKuala Lumpur).

Secara keseluruhannya, 7,051 kluster dikesan sejak pandemik Covid-19 melanda negara ini lebih dua tahun lalu dan setakat 12 Ogos, 26 kluster masih aktif.

Data COVIDNOW KKM setakat 11.59 malam 12 Ogos 2022 menunjukkan 43,701 kes (96.3 peratus) dikuarantin di rumah daripada 45,375 kes aktif yang dilaporkan.

Sebanyak 31 kes (0.1 peratus) lagi di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC); 1,577 kes (3.5 peratus) di hospital; 21 kes (0.0 peratus) di Unit Rawatan Rapi (ICU) tanpa memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP) sementara 45 kes (0.1 peratus) di ICU memerlukan ABP.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Ogos 2022 @ 12:14 PM