GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jangkitan kes baru Covid-19 terus mencatatkan peningkatan iaitu 24,316 kes dilaporkan semalam berbanding 22,491 kes kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan 4,079,242 kes kumulatif di negara ini.

Beliau berkata, jumlah kes sembuh dicatatkan semalam adalah 25,512 kes menjadikan 3,796,975 kes kumulatif atau 93.1 peratus.

"Daripada sejumlah kes baru dilaporkan semalam, 297 adalah kes import iaitu 280 warganegara (94.3 peratus) dan 17 bukan warganegara (5.7 peratus).

"Penularan kes tempatan pula 24,019 kes iaitu 23,185 warganegara (96.5 peratus) dan 834 membabitkan bukan warganegara (3.5 peratus)," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 321 kes (139 kes disahkan Covid-19; 182 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Katanya, kes memerlukan bantuan pernafasan adalah 194 kes (90 kes disahkan Covid-19; 104 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

Beliau berkata, daripada 24,316 kes harian yang dilaporkan semalam, 13,299 kes (54.69 peratus) membabitkan pesakit Kategori 1 manakala kategori 2 sebanyak 10,865 kes (44.68 peratus) dan Kategori 3 sebanyak 75 kes (0.31 peratus).

Sementara itu, terdapat 32 kes (0.13 peratus) Kategori 4 dan 45 kes (0.19 peratus) Kategori 5.

Katanya, daripada 152 kes Covid-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada semalam, 43 kes (28.29 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksinasi, 61 kes (40.13 peratus) menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster), 48 kes (31.58 peratus) sudah menerima dos penggalak, 81 kes (53.29 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas serta 76 kes (50 peratus) mempunyai komorbid.

Semalam, empat kluster baharu Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah kluster di negara ini sejak bermula pandemik adalah 6,922 kluster, katanya.

"Daripada keseluruhan jumlah kluster di negara ini, jumlah kluster yang sudah tamat adalah 6,671 kluster dan jumlah kluster aktif dengan kebolehjangkitan adalah 251 kluster," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mac 2022 @ 10:57 AM