GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
SamadiAhmad


Putrajaya: Kes kematian seorang bayi berusia sembilan bulan yang disyaki didera pengasuh pada Khamis lalu perlu disiasat dengan teliti.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun mahu hukuman tegas dan setimpal diberikan kepada pesalah yang terbabit dengan kes penderaan itu.

Beliau menzahirkan rasa hiba dan sedih atas kejadian itu.

"Kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak adalah keutamaan buat kita semua dan saya menyeru supaya rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga serta menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan.

"Masyarakat perlu menjadi mata telinga kepada kerajaan serta terus memupuk sikap ambil peduli dan melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa," katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Katanya, rakyat juga dimohon untuk melaporkan terus sebarang kejadian yang mencurigakan di Talian Kasih 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

"Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau balai polis yang berdekatan.

"Dalam hal ini, saya menasihatkan supaya ibu bapa dapat membuat penilaian yang menyeluruh sebelum memilih pengasuh yang bersesuaian untuk menjaga anak-anak mereka.

"Maklumat berkaitan pengasuh berdaftar boleh diperoleh di laman sesawang rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat di alamat jkm.gov.my," katanya.

Selain itu, Rina berkata mengingatkan kepada semua pihak bahawa keselamatan dan kesejahteraan anak-anak perlu menjadi keutamaan agar tragedi yang sama tidak berulang.

Semalam media melaporkan sepasang suami isteri ditahan berkaitan kes seorang bayi lelaki maut dipercayai didera seorang pengasuh di sebuah pangsapuri di Kelana Jaya pada Khamis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 6:37 PM