Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hukuman tegas dan setimpal wajar dikenakan kepada pihak terbabit dengan insiden seorang kanak-kanak autism dikasari serta disyaki didera di sebuah pusat intervensi di Bandar Baru Ampang di sini, seperti tular di media sosial.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang mahu insiden itu segera disiasat berkata, ia penting bagi mengelak kejadian sama berulang selain menjadi peringatan kepada pusat-pusat jagaan dan pusat intervensi kanak-kanak di negara ini.

Rina berkata, beliau sudah mengarahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil tindakan penguatkuasaan bersesuaian di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506) kepada pusat jagaan itu termasuk tindakan 'lak' atau sita mengikut seksyen 16A(1) akta berkenaan.

"Selain itu, pengendali juga boleh didakwa dan dikompaun seperti yang termaktub dalam Seksyen 21 dan 21A Akta 506.

"Tindakan intervensi daripada sudut psikososial dan kaunseling akan diberikan oleh kaunselor berdaftar kepada ibu bapa dan kanak-kanak terlibat demi memastikan kebajikan serta kesejahteraan emosi mereka tidak terjejas dan terpelihara," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sejak semalam, tular di media sosial termasuk Facebook dan TikTok seorang kanak-kanak lelaki dikasari seorang wanita dipercayai berlaku di sebuah pusat jagaan untuk kanak-kanak autism hingga mendapat kecaman warganet.

Rina berkata, kementeriannya tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang disyaki melakukan kesalahan hingga menjejaskan kehidupan kanak-kanak selain terus komited meningkatkan kesedaran melalui kerjasama pelbagai pihak bagi melindungi mereka.

"Kementerian juga menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas kepada individu yang disyaki terbabit dengan penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak yang boleh menjadi suatu kesalahan jenayah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan perkhidmatan penjagaan dan pengasuhan yang diperlukan berdaftar dengan JKM demi memastikan keselamatan anak-anak mereka lebih terjamin.

Katanya, maklumat berkaitan pengasuh dan pusat jagaan berdaftar boleh diperoleh menerusi www.jkm.gov.my atau semak di laman http://ezi2care.jkm.gov.my.

Rina berkata, dalam menyemarakkan kesejahteraan kehidupan dalam Keluarga Malaysia masyarakat awam perlu menjadi 'mata dan telinga' kerajaan dengan membuat laporan kepada pihak polis, talian Kasih 15999 dan talian Whatsapp 019-26 15999 atau di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah seluruh negara jika mengetahui atau mengesyaki berlaku kes penderaan kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 4:40 PM