LAPORAN Harian Metro sebelum ini
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
Rafiqah Dahali


Kota Kinabalu: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah memandang serius isu seorang kanak-kanak yang didera secara fizikal dalam taska menerusi paparan video rakaman CCTV yang tular, semalam.

Menterinya, Datuk James Ratib pihaknya mengambil maklum mengenai isu yang didakwa terjadi di sebuah taska, di sini.

Susulan itu, pihaknya memutuskan akan memanggil pengusaha taska terbabit untuk memberi penjelasan lanjut mengenai perkara itu.

"Saya selaku Menteri KPMKR amat kesal dengan kejadian itu. Apabila kita membuat penelitian, syarikat (yang mengendalikan taska) itu mempunyai dua lesen iaitu lesen taska dan tadika.

"Tadika adalah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Selaku KPMKR, saya akan melihat perkara ini secara serius kerana saya tidak mahu ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska dan tadika hilang kepercayaan mereka.

"Jadi saya minta agar terutamanya sekali Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) negeri ini supaya membuat satu garis panduan terutama sekali kepada pengendali taska di bawah kementerian saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, James turut menjelaskan pihaknya difahamkan pengasuh wanita terbabit mula bertugas sejak tahun 2020 lagi dan khuatir akan kemungkinan lebih ramai kanak-kanak yang telah didera sebelum ini.

Oleh itu, beliau meminta agar selepas ini JPKA selaku pengeluar lesen taska di bawah KPMKR untuk memastikan guru dan pengasuh yang diambil terdiri dari kalangan terlatih sepenuhnya.

"Selepas ini saya akan panggil semua pengendali taska di bawah kementerian saya untuk diberi nasihat dan memastikan supaya perkara ini tidak berlaku lagi.

"Dalam masa yang singkat ini, Insya-Allah hari ini atau esok akan jumpa pengusaha ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Ogos 2023 @ 1:27 PM