GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Melaka: Kerajaan telah meluluskan pengambilan 208 Pegawai Pelindung Kanak-kanak dan 169 Pegawai Akhlak yang akan berkhidmat di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam usaha menangani pelbagai masalah membabitkan kumpulan terbabit.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Harun berkata, jumlah berkenaan membabitkan fasa pertama pengambilan daripada keseluruhan 1,122 pegawai dalam kedua-dua bidang yang diperlukan oleh jabatan berkenaan.

"Pengambilan pegawai baharu ini amat diperlukan kerana ketika ini, JKM hanya mempunyai 264 Pegawai Pelindung Kanak-kanak serta 200 Pegawai Akhlak dan ia tidak mencukupi bagi menangani masalah berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menziarahi Norlida Abu Hassan, 50, ibu angkat kepada seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang maut dipercayai akibat didera dalam satu kejadian di Taman Krubong Jaya, di sini, Jumaat lalu.

Dalam perkembangan sama, Rina memohon mana-mana keluarga yang mempunyai anak angkat agar dapat menghubungi JKM bagi urusan pendaftaran dan urusan berkaitan mengikut undang-undang sedia ada.

Selain itu, beliau memohon agar masyarakat cakna dengan kanak-kanak yang tinggal dalam komuniti masing-masing dan segera melaporkan sebarang penderaan ke Talian Kasih 15999 atau WhatsApp di nombor 019-2615999 yang beroperasi 24 jam.

Dalam kejadian Jumaat itu, kanak-kanak malang didakwa lemas di dalam tong air di rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 4 petang, namun siasatan siasatan awal polis mendapati terdapat kecederaan fizikal pada badan mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:38 PM