Rina Mohd Harun.
Rina Mohd Harun.
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang membabitkan pencabulan hak dan kebajikan kanak-kanak.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, kementeriannya akan terus komited meningkatkan kesederan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dalam melindungi kanak-kanak.

Beliau juga menegaskan, tindakan tegas akan diambil kepada pesalah yang terbabit dengan penderaan dan salah laku terhadap kanak-kanak.

"Saya turut merasakan keperitan dan kedukaan yang dirasai oleh ibu-ibu yang mempunyai anak sebaya dengan Allahyarham (kanak-kanak tujuh tahun).

"Saya mahu kematian Allahyarham Adik Zubaidi disiasat segera dengan teliti dan hukuman yang tegas serta setimpal diberikan kepada pesalah agar perkara sebegini tidak berulang lagi.

"Selain itu ia akan menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang cuai dalam penjagaan anak, termasuk yang melakukan penderaan dan salah laku kepada kanak-kanak," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Rina berkata, kementerian sedang mengkaji secara menyeluruh Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara dengan menitikberatkan agar kanak-kanak bebas daripada segala perkara negatif melalui advokasi, pencegahan dan khidmat sokongan.

Katanya, pihaknya akan menggalakkan rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan.

Selaras semangat "KitaJagaKita" beliau berharap masyarakat turut menjadi "mata dan telinga" kepada kerajaan serta terus memupuk sikap ambil peduli terhadap masalah kejiranan setempat dan terus melaporkan sebarang kecurigaan yang berlaku di kawasan kediaman masing-masing kepada pihak berkuasa.

Selain itu, katanya, rakyat digalakkan melaporkan terus sebarang kejadian ke Talian Kasih 15999 dan Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam.

"Orang awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) di seluruh negara atau Balai Polis yang berdekatan.

"Dalam hal ini, saya turut menasihatkan pihak keluarga yang berhasrat mengambil atau sudah mengambil kanak-kanak ke dalam pemeliharaan, jagaan atau kawalannya, perlu membuat pemakluman kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seperti yang tertakluk dalam Akta Kanak- Kanak 2001.

"JKM bersedia memberi khidmat nasihat berhubung peraturan-peraturan dan prosedur yang sah yang perlu dipatuhi dalam urusan pengambilan anak angkat," katanya.

Media pada Jumaat lalu, melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya di rumah di Taman Krubong Jaya, Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2021 @ 6:17 PM