Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sejumlah 9,015 kes keganasan rumah tangga direkodkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac 2020 hingga Ogos lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu sebanyak 4,110 kes dicatatkan sejak Mac hingga Disember 2020 manakala 4,905 kes direkodkan daripada Januari sehingga Ogos 2021.

Katanya, pihaknya mengambil beberapa inisiatif seperti Talian Kasih 15999 dan memperluaskan usaha mempromosikan perkhidmatan aduan atas talian melalui aplikasi WhatsApp 019-26 15999.

Katanya, perkhidmatan ini beroperasi 24 jam setiap hari sebagai 'single point of contact' kepada masyarakat bagi mengemukakan aduan, mendapatkan khidmat nasihat serta mengakses bantuan dan sokongan yang disediakan oleh kementerian termasuk perkhidmatan psikososial.

"Ini dapat membantu orang awam atau mangsa dilengkapi dengan maklumat utama agar tidak terus berada dalam kitaran keganasan rumah tangga yang mengancam diri sendiri dan ahli keluarga lain serta mendorong mana-mana pihak yang terkesan untuk tampil melaporkan kes seumpama ini yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

"Berdasarkan laporan Talian Kasih dari Mac hingga Disember 2020, sebanyak 2,286 aduan dan pertanyaan yang dicatatkan manakala dari Januari hingga Ogos 2021, sebanyak 2,248 aduan dan pertanyaan direkodkan," katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai jumlah kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan serta apakah bentuk sokongan kepada mangsa keganasan rumah tangga yang diberikan.

Beliau berkata, hebahan dan program advokasi berkaitan keganasan rumah tangga sudah dilipatgandakan melalui media sosial, media elektronik, media cetak, yang antaranya infografik berkaitan tafsiran, jenis keganasan rumah tangga, kumpulan yang dilindungi dan perkhidmatan yang disediakan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 termasuk Sistem Pesanan Ringkas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Selain itu kementeriannya juga melaksanakan program kesedaran dan jelajah bagi memberi kesedaran dan advokasi kepada masyarakat sama ada ia dilaksanakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau kerjasama dengan agensi lain.

"Sehingga Jun 2021, sebanyak 22 jelajah dilaksanakan di peringkat negeri atau daerah.

"KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) giat mengadakan pelbagai program pendidikan sepanjang tahun dengan mengikut kesesuaian semasa iaitu secara dalam talian ke arah penyelesaian dalam menangani perkara tersebut antaranya melaksanakan program psikopendidikan melalui DeStress Clinic, Klinik Undang-Undang dan Wanita Anti Jenayah.

"Sehingga 31 Ogos 2021, sebanyak 1,284 program pemerkasaan wanita dilaksanakan oleh JPW membabitkan 711,064 peserta di seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 September 2021 @ 4:33 PM