POLIS melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang ditahan di kawasan Tasik Kenyir. FOTO ihsan POLIS
POLIS melakukan pemeriksaan terhadap penunggang motosikal yang ditahan di kawasan Tasik Kenyir. FOTO ihsan POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Polis terpaksa mengekori dua remaja lelaki sejauh lebih 50 kilometer (KM) selepas dikesan menunggang motosikal dengan aksi zig zag dan superman sebelum berjaya ditahan di kawasan parkir di Jambatan Angkat di sini, semalam.

Dua suspek berusia 16 dan 17 tahun serta masih bersekolah sebelum itu dikesan melakukan aksi berbahaya di KM 54-53 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan (Kampung Jambu Bongkok, Marang.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Ismail Man berkata, anggota yang melakukan pemantauan berhampiran Kampung Jambu Bongkok, Marang, kira-kira jam 2.40 petang terserempak dengan tiga motosikal yang bergerak dari arah Dungun menghala ke Kuala Terengganu.

Beliau berkata, dua daripada penunggang motosikal didapati menunggang motosikal dengan aksi zig zag dengan salah seorang daripada mereka turut melakukan aksi berbahaya apabila menunggang motosikal dengan meniarapkan badan dan kaki melunjur ke belakang ala 'superman'.

"Skuad 42 JSPT bertindak mengekori tiga penunggang terbabit sebelum dua remaja itu ditahan di kawasan parkir Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 manakala sebuah motosikal disita mengikut Seksyen 64 akta sama.

"Kita turut mengeluarkan 10 saman membabitkan pelbagai kesalahan iaitu tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran dan tiada cermin sisi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam operasi berasingan di daerah Hulu Terengganu, Ismail berkata, pihaknya turut menahan 95 motosikal sebelum memeriksa 120 individu termasuk 10 wanita berusia antara 16 hingga 40 tahun di kawasan Tasik Kenyir.

Katanya, siasatan mendapati mereka ini terdiri daripada beberapa beberapa konvoi yang dipercayai datang ke tasik berkenan untuk menghabiskan cuti hujung minggu.

"Sebanyak 57 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada cermin sisi, tidak mempamerkan pelekat L dan P, ubah suai ekzos, tiada nombor pendaftaran dan nombor plat tidak mengikut peraturan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Oktober 2021 @ 2:41 PM