Lelaki yang ditahan selepas membuat aksi superman FOTO IHSAN FB POLIS
Lelaki yang ditahan selepas membuat aksi superman FOTO IHSAN FB POLIS
Zatul Iffah Zolkiply


TINDAKAN dua lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi 'superman' dan 'zig-zag' dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) Jalan Telemong- Bukit Payong, menerima padah apabila ditahan polis kelmarin.

Lagak berbahaya dua suspek masing-masing berusia 26 dan 30 tahun itu disedari pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu yang melakukan operasi di sekitar daerah Marang yang menjadi tumpuan kumpulan mat rempit bermula 5 petang hingga 7 malam.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, anggota yang melakukan pemantauan terserempak dengan dua lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ secara berbahaya.

Katanya, mereka turut membuat aksi 'superman' dan 'zig-zag' bermula dari susur lebuh raya berkenaan sebelum anggota bertindak menahan mereka untuk tindakan lanjut.

"Dua suspek dan motosikal ditunggang mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Marang untuk tindakan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara berbahaya dengan menunjukkan aksi.

"Hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati mereka yang bekerja sebagai pemandu lori dan buruh ini negatif dadah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Zain berkata, LPT2 sering menjadi lokasi pilihan bagi 'mat rempit' untuk menunjukkan aksi sebelum ini walaupun operasi kerap diadakan.

Katanya, pihaknya tidak akan berkompromi kepada mana-mana individu yang dikesan melanggar undang-undang dan operasi berterusan akan diadakan bagi mengekang aktiviti samseng jalanan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2020 @ 3:22 PM