Kawalan penjualan dan penggunaan vape penting bagi pengguna, industri dan ekonomi negara. - Gambar hiasan.
Kawalan penjualan dan penggunaan vape penting bagi pengguna, industri dan ekonomi negara. - Gambar hiasan.
Muhamad Shaifullah Tayep

Kuala Lumpur: Vape dilihat menjadi salah satu gaya hidup masa kini terutamanya golongan muda.

Dalam laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat lebih 1 juta pengguna vape di Malaysia pada masa ini.

Namun, sehingga kini belum ada peraturan khusus penjualan mahupun penggunaan ditetapkan pihak berkuasa sehingga menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Ketiadaan peraturan membawa kepada penjualan dan penggunaan produk vape dan cecair vape dilihat tidak terkawal sehinggakan menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap produk vape yang dilihat sebagai alternatif kepada perokok.

Hasil tinjauan dijalankan mendapati terdapat pelbagai pandangan individu mengenai cadangan untuk melaksanakan peraturan vape.

Kuatkuasa undang-undang penggunaan vape

Eksekutif Kanan (Pemasaran) Izatulkhursiah Ismail, 37, setuju sekiranya peraturan vape dikuatkuasakan namun ia tidak sepatutnya digunakan di tempat terbuka.

"Selain menetapkan had umur dan memastikan kandungan bahan di dalamnya tidak memudaratkan tubuh badan, kerajaan juga perlu mengeluarkan peraturan larangan menghisap vape di tempat terbuka terutamanya tempat makan, pusat beli-belah dan majlis yang mungkin dihadiri kanak-kanak kerana ia boleh mengganggu keselesaan," katanya.

Katanya, tindakan tegas dengan kompaun harus dilaksanakan jika vape digunakan di kawasan larangan.

Alternatif buat perokok

Pembantu tadbir, Muhammad Syaffwan Azman, 26, berkata vape boleh dijadikan alternatif untuk berhenti atau mengurangkan penggunaan rokok kerana jumlah kandungan nikotin yang sedikit mampu membendung ketagihan merokok.

Bagaimanapun katanya, kehendak untuk berhenti merokok terletak pada diri sendiri, tanpa vape tabiat merokok boleh dihentikan dengan tekad.

"Ramai kenalan saya yang beralih kepada vape daripada rokok kerana kepelbagaian rasa dan gajet unik membuatkan mereka menjadikan ia sebagai salah satu gaya hidup," katanya.

Muhammad Syaffwan berkata, penerimaan masyarakat terhadap vape sama seperti rokok yang mana ia budaya tidak sihat dan merosakkan.

"Kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang tepat bagi membuktikan vape mampu dijadikan salah satu sumber ekonomi serta penggunaannya tidak mengganggu kesihatan," katanya.

Tetapkan had umur

Pekerja swasta, Hanis Aliaa Hidzir, 28, pula berkata peraturan vape perlu dikuatkuasakan namun tidak setuju penggunaannya dihalalkan.

"Sebagai ibu saya tidak mahu anak menggunakan vape. Jadi, pada saya penting untuk kerajaan menetapkan had umur untuk seseorang membeli dan menggunakan vape," katanya.

Pekerja swasta, Wan Natasha, 27, berkata produk vape tidak patut jatuh ke tangan pelajar sekolah dan perlu ada peraturan bagi memastikan ia digunakan oleh golongan dewasa kerana ia bukannya satu tabiat yang baik.

"Produk vape hanya patut digunakan orang dewasa. Ketiadaan peraturan pada masa ini bermakna produk ini kemungkinan akan jatuh ke tangan budak sekolah dan ini perlu dibendung," katanya.

Kawal kandungan cecair vape

Pengurus tadbir undang-undang, Kate Wong, 39, berkata suaminya berhenti merokok dengan menggunakan vape.

Bagaimanapun, beliau bimbang suaminya menggunakan produk vape yang tidak terkawal dalam pasaran.

"Ketiadaan peraturan ke atas produk bermakna produk yang terjual dalam pasaran tidak terkawal dari segi kandungan dan pengguna menggunakan produk yang tidak terkawal. Pihak berkuasa perlu mengeluarkan peraturan untuk memastikan produk tidak mengandungi kandungan yang berbahaya dan tidak memudaratkan kesihatan," katanya.

Pengguna vape, Khairil Azizi Khairuddin, 33, berkata walaupun penggunaan produk vape dilihat sebagai alternatif yang kurang mudarat berbanding merokok, peraturan perlu dikeluarkan pihak berkuasa seperti mengehadkan nikotin dalam cecair vape dan melarang sebarang kandungan berbahaya.

"Kebanyakan pengguna vape menggunakan vape dengan cecair mengandungi nikotin sebagai alat berhenti merokok. Ini bukan bermakna produk vape tidak perlu dikawal walaupun ia dapat membantu perokok berhenti merokok.

"Pihak berkuasa perlu lihat negara lain seperti di United Kingdom dan New Zealand, bagaimana ia dikawal supaya peraturan yang sama boleh diperkenalkan di Malaysia seperti mengehadkan kandungan nikotin dalam cecair vape," katanya.

Cari inisiatif

Pensyarah ekonomi, Zuhri Riza, 27, berkongsi pelaksanaan peraturan vape akan mengurangkan permintaan dan penawaran vape serta cecairnya.

"Di sini kita dapat melihat dua situasi yang berbeza iaitu dari segi pengguna dan peniaga vape. Pengguna tidak akan menyedari tentang peningkatan dalam tahap kesihatan rentetan pengurangan penggunaan vape.

"Namun, peniaga vape akan terjejas kerana penjualan terpaksa dikurangkan dan akan menyebabkan kehilangan mata pencarian," katanya.

Zuhri berkata, bagi mengelakkan daripada terputus sumber pendapatan, peniaga dan pihak berkuasa perlu bersama-sama mencari inisiatif bagi membangunkan ekonomi daripada perniagaan yang boleh menggalakkan pertumbuhan ekonomi setempat.

"Dari perspektif yang lain, jika penguatkuasaan terhadap vape dilaksana, kos penjagaan kesihatan dapat dikurangkan dan kerajaan boleh mengalihkan kos tersebut kepada hal ehwal ekonomi yang lebih penting," katanya.

Kesimpulannya, vape berkemungkinan mempunyai risiko lebih rendah berbanding rokok tetapi kajian mengenainya perlu lebih banyak dilakukan untuk membuktikan keberkesanannya.

Walau bagaimanapun, penyelesaian terbaik adalah tidak mengamalkan kedua-duanya dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:08 PM