GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Latifah Arifin


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan, mendesak kerajaan memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia kandungan vape.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, ketika ini, tidak ada sebarang peraturan yang dikenakan bagi kawalan bahan yang terkandung dalam peranti elektronik terbabit.

"Sekarang ini tiada apa-apa peraturan yang dikenakan untuk mengawal bahan yang dicampur dalam cecair vape dan kita tidak tahu jika bahan merbahaya digunakan.

"Menteri Kesihatan mempunyai kuasa untuk memperkenalkan peraturan kandungan vape melalui Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023. Tidak ada sebab kenapa kerajaan tidak mahu memperkenalkan peraturan ini," katanya.

Beliau berkata pihaknya menghantar satu surat kepada Menteri Kesihatan dengan salinannya turut diberikan kepada ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan di Parlimen.

"Dalam surat itu saya cadangkan agar pihak Kementerian Kesihatan merujuk kepada piawaian di negara yang telah memperkenalkan peraturan berkaitan vape sebelum ini.

"Contohnya, ada negara yang menguatkuasakan peraturan untuk mengawal bahan yang terkandung dalam cecair vape, kandungan nikotin, dan kepekatan cecair vape," katanya.

Beliau turut menambah, mengikut Kesatuan Eropah, setiap kartrij hanya dibenarkan mengandungi 2 milimeter (ml) cecair vape, manakala kandungan nikotin pula mestilah tidak lebih daripada 20 miligram per ml.

Bagaimanapun, katanya, negara kita ketika ini tidak mempunyai peraturan sedemikian dan ia mesti diperkenalkan segera.

Wan Saiful berkata, beliau turut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak yang menggesa supaya kerajaan mewujudkan satu peraturan yang jelas mengenai vape.

Katanya, gesaan itu datang daripada pelbagai pihak, antaranya ibu bapa, guru-guru, pengusaha vape, dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO).

"Amat penting kandungan vape dikawal selia supaya kita dapat memastikan bahawa bahan yang digunakan adalah selamat dan tidak memudaratkan," katanya.

Untuk rekod, Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 diluluskan November lalu di Parlimen.

Bagaimanapun, peruntukan berkaitan Generasi Penamat Rokok (GEG) digugurkan daripada RUU terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2024 @ 6:09 PM