Aizat Sharif


Kangar: Prosedur operasi standard (SOP) kerja menyelamat di air sentiasa dinilai dan ditambah baik, terutama jika berlaku insiden sama ada membabitkan anggota bomba mahupun mangsa.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, dalam insiden terbaharu membabitkan Allahyarham Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Diya Che Jusoh di Melaka, siasatan masih lagi berjalan.

"SOP memang kita kaji secara berterusan dan apabila berlakunya bencana, kejadian lemas membabitkan anggota kita, lagilah kita akan melakukan latihan intensif melalui laporan yang diperoleh menerusi siasatan dalaman dan luaran.

"Namun begitu buat masa ini, siasatan untuk kes yang berlaku di Melaka ini (Mohd Diya Che Jusoh) masih sedang berjalan. Jadi terlalu awal untuk kita menambah baik dari segi SOP untuk tujuan kerja menyelamat di air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 Negeri Perlis, di sini hari ini.

Mohamad Hamdan (dua dari kanan) menyampaikan pingat kebesaran JBPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota dan kakitangan JBPM Negeri Perlis di sebuah hotel di Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
Mohamad Hamdan (dua dari kanan) menyampaikan pingat kebesaran JBPM dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota dan kakitangan JBPM Negeri Perlis di sebuah hotel di Kangar. FOTO AIZAT SHARIF

Hadir sama, Pengarah JBPM Perlis Ruhisha Haris dan Timbalannya Khairull Rizall Yahaya.

Mohammad Hamdan berkata, penambahbaikan terbaharu terhadap SOP penyelamatan dilakukan tiga tahun lalu, susulan insiden enam anggota JBPM lemas di lombong Taman Putra Perdana, Puchong ketika menyelamat seorang remaja, pada 3 Oktober 2018.

"Hasil kes itu banyak yang sudah kita tambah baik di mana kita kini sedang membina Pusat Simulasi untuk kaedah menyelamat di 'swift water' yang menelan belanja RM34 juta.

"Ia dibangunkan di Akademi JBPM Wakaf Tapai, Terengganu malah, akan menjadi pusat akademi untuk operasi dan taktikal JBPM.

"Selain itu, kita turut menghantar anggota kita ke England untuk mempelajari 'low head dam' atau kajian pusaran air dan kederasan yang terdapat pada 'low head dam' dan bertanggungjawab menyedia modul latihan yang sesuai untuk kegunaan di sini," katanya yang memberitahu penambahbaikan turut dilakukan ke atas peralatan asas menyelamat.

Terdahulu, beliau menyampaikan pingat dan anugerah perkhidmatan cemerlang kepada 68 anggota JBPM Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 8:14 PM