Ahmad Rabiul Zulkifli


MIDI (bukan nama sebenar) dari Setiu sedang menjalani hukuman penjara sembilan tahun di Penjara Marang.

Namun Midi, 38, yang mula menjalani hukuman pada Januari 2018, kini ada visi untuk mengubah hidup iaitu mahu menjadi penternak ikan keli berjaya apabila dibebaskan.

"Ketika ini, saya menjalani latihan serta mengurus kolam keli di penjara dan ia cukup menyeronokkan.

"Segala ilmu yang dipelajari melalui kursus penternakan ini akan saya manfaatkan apabila dibebaskan kelak," katanya yang turut menjalani hukuman 10 sebatan selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Saya mahu jadi penternak keli berjaya satu hari nanti," katanya lagi.

Bagi Izat, 25, (bukan nama sebenar) yang berasal dari Kemaman, aktiviti penternakan ikan keli itu bukan sahaja memberi ilmu dan kemahiran malah menghilangkan tekanan.

"Apabila sibuk dengan aktiviti penternakan kelu ini, saya tiada masa untuk berfikir perkara yang bukan-bukan dan mengalami tekanan.

"Tempoh hukuman 10 tahun di penjara boleh dimanfaatkan dengan aktiviti berfaedah," katanya.

Izat yang menjalani hukuman penjara sejak 2017 didapati bersalah mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, 15 penghuni akan menjalani latihan penternakan ikan keli di penjara itu secara bergilir sepanjang enam bulan.

"Kami jalankan pelbagai program untuk lebih 2,000 penghuni bagi memastikan setiap penghuni dapat berdikari selepas dibebaskan.

"Kursus kemahiran menternak keli di bawah Skim Latihan Dual Nasional (SLDN), Jabatan Pembangunan Kemahiran ini antara yang berjaya dijalankan.

"Ia mampu menjana lebih RM17,000 sebulan melalui hasil jualan kepada kontraktor makanan Penjara Marang dan Penjara Koreksional Dungun di Bukit Besi," katanya ditemui di Penjara Marang, hari ini.

PENGARAH Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (kiri) melihat penyelia tapak penternakan ikan memberi makan ikan keli yang diternak di Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
PENGARAH Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff (kiri) melihat penyelia tapak penternakan ikan memberi makan ikan keli yang diternak di Penjara Marang. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Menurut Wan Sani, lebihan bekalan keli dijual kepada kakitangan penjara pada harga RM7 sekilogram.

Bagaimanapun, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), harga ditawarkan serendah RM4.50 sekilogram.

Menurut Wan Sani, pihaknya bermula dengan empat kolam ternakan pada 2017.

"Kini, kami memiliki 20 kolam dengan anggaran ternakan 60,000 keli pada satu-satu masa.

"Kegiatan ini diselia kakitangan penjara yang mempunyai pentauliahan khas dalam penternakan keli," katanya.

Menurut beliau, kegiatan penternakan keli di penjara itu semakin berkembang melalui perolehan keuntungan besar.

Katanya, pihaknya mendapat banyak bantuan dan sumbangan bagi menjayakan projek berkenaan.

"Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan antara penyumbang utama makanan keli.

"Terbaru, Maqis menyerahkan 4.7 tan metrik ayam beku dianggarkan bernilai RM46,000 untuk dijadikan makanan keli," katanya.

Menurut beliau, Maqis menyumbang daging mentah untuk makanan keli sejak 2017 seterusnya menjimatkan kos makanan yang perlu ditanggung penjara iaitu RM6,600 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 April 2020 @ 1:26 PM