Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim menaman pokok mangga king Terengganu sebagai gimik kepada perasmian ladang mangga king Terengganu Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Dr Azman Ibrahim menaman pokok mangga king Terengganu sebagai gimik kepada perasmian ladang mangga king Terengganu Penjara Marang. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


Marang: Penjara Marang dijangka menjadi pengeluar Mangga King yang terbesar di Terengganu dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Ketika ini tanah seluas 12.5 hektar di belakang penjara itu ditanam pokok itu dan diangkat menjadi ladang buah berkenaan.

Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman berkata, pihaknya menyasarkan memperoleh jualan sehingga RM2 juta bagi tuaian buah pada tahun kelima kelak.

"Bagi fasa pertama, kami menanam sebanyak 280 pokok, manakala fasa berikutnya akan diteruskan bergantung bekalan anak pokok disumbang kerajaan negeri.

"Potensi kejayaan projek itu sangat besar, memandangkan ia dijalankan di bawah Program Latihan Kemahiran Penghuni Penjara Marang," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Ladang Mangga King dan Lawatan Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim, hari ini.

Turut hadir Pengarah Penjara Terengganu, Timbalan Komisioner Penjara Ahmad Saidi Hamzah dan Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian negeri Zulkefli Amin Mat Jusoh.

Selain pokok itu, Nik Robidin berkata, Penjara Marang turut mengusahakan tanaman tembikai dan kangkung di tapak seluas 2.43 hektar berhampiran ladang sama, menerusi program sama.

"Penghuni penjara juga menjalani program penternakan ikan keli menerusi 20 kolam yang kini mempunyai 400,000 ikan itu.

"Semua ternakan dan tanaman diusahakan oleh penghuni yang mempunyai baki hukuman kurang setahun. Ia juga sebagai persediaan untuk mereka berdikari apabila keluar nanti," katanya yang memberitahu hasil produk untuk makanan penghuni selain dijual kepada penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 6:27 PM