Muhammad Azwa (tengah) sedang mengutip buah tembikai di kebun miliknya di kampung Alor Ketitir Merchang, Marang. Foto Malik Muhamad
Muhammad Azwa (tengah) sedang mengutip buah tembikai di kebun miliknya di kampung Alor Ketitir Merchang, Marang. Foto Malik Muhamad
Malik Muhamad


Marang: Hilang punca pendapatan sebagai pembantu operasi syarikat pembinaan berikutan Covid-19 memaksa seorang anak muda beralih kepada bidang pertanian.

Malah, pelaburan RM7,000 dilakukan Muhammad Azwa Mohd Shakri, 30, untuk mengusahakan tanaman tembikai seluas dua ekar (kira-kira 0.8 hektar) buat kali pertama di Kampung Alor Ketitir, Merchang, dekat sini, mula membuahkan hasil.

Menurutnya, dia mengusahakan tanaman itu akhir Disember tahun lalu selepas tidak lagi mendapat tawaran bekerja di tapak projek kesan daripada wabak pandemik itu.

"Sebelum ini, saya tidak terfikir untuk berkebun, lebih-lebih lagi bidang itu kurang popular dalam kalangan anak muda, namun disebabkan tiada pekerjaan selain tidak mahu berpeluk tubuh serta nasihat daripada ibu bapa, Mohd Shakri Ya dan Che Ruljalani Hassan, saya memberanikan diri.

"Saya mengeluarkan modal RM7,000 dengan niat untuk berkebun di tanah milik bapa dan ternyata, semua penat lelah itu berbaloi.

"Saya bukan setakat mendapat modal semula, malah hasilnya cukup lumayan bermula perolehan RM5,000 pada tuaian pertama dengan setiap biji tembikai mencecah berat antara enam hingga sembilan kilogram (kg)," katanya.

Menurutnya, selepas tuaian seterusnya membawa hasil sehingga 15,000kg, dia mula 'jatuh hati' untuk mengusahakan tanaman tembikai jenis boci yang hanya mengambil masa selama 75 hari manakala tembikai kuning mengambil masa 65 hari sebelum boleh dituai.

Katanya, harga pasaran tembikai sekitar RM1.50 bagi satu kilogram di kebun dan boleh mencecah RM2, selain mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pemborong dan penduduk sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 8:29 PM