POK Ya, (bukan nama sebenar) dan Hadi (bukan nama sebenar) bersama Wan Sani mewakili penghuni Penjara Marang menyerahkan zakat fitrah kepada Muezzul Lizam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
POK Ya, (bukan nama sebenar) dan Hadi (bukan nama sebenar) bersama Wan Sani mewakili penghuni Penjara Marang menyerahkan zakat fitrah kepada Muezzul Lizam. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli


"SELAMA ini saya mengabaikan tanggungjawab kepada keluarga tetapi selepas sembilan tahun berada di penjara saya mulai insaf, sedar dan ingin menebus semula kesilapan lalu," kata Pak Ya,56, (bukan nama sebenar) seorang daripada 500 pembayar zakat fitrah Penjara Marang.

Bekas pekerja buruh yang menjalani hukuman penjara 15 tahun dan 21 sebatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana sumbang mahram itu bukan sahaja membayar zakat untuk dirinya tetapi juga untuk isteri dan tiga anaknya berjumlah RM35.

Pok Ya berkata, dia sudah menjalani hukuman di atas kesilapan yang pernah dilakukan dan berasa menyesal di atas perbuatan lampau terhadap anak tirinya.

"Sebelum ini saya seorang bapa yang mentingkan diri sendiri. Saya berkahwin dua dan anak-anak kandung yang sedia ada terabai.

"Saya tidak mampu mengawal nafsu dan merogol anak tiri yang berusia 14 tahun ketika itu.

"Banyak pengajaran yang saya perolehi sepanjang sembilan tahun berada di penjara dan pada masa sama belajar agama dan al-

Quran," katanya yang kini ditugaskan sebagai tukang sapu Surau Penjara Marang.

Tambahnya, gajinya hanya 30 sen sehari sebelum ini tetapi sejak memakai seragam biru dan bertugas di surau, gajinya dinaikkan kepada RM1 sehari.

"Ramadan sebelum ini saya tidak mampu membayar zakat fitrah untuk keluarga tetapi sekarang ada pendapatan dan simpatan lebih boleh membayar untuk ahli keluarga dan diri sendiri.

"Walaupun saya berada di penjara, saya tetap ingin menjalankan tanggungjawab membazar zakat fitrah untuk keluarga yang selama ini diabaikan.

"Hati berasa tenang apabila berpeluang membayar zakat fitrah untuk keluarga," katanya.

Sementara itu, Hadi (bukan nama sebenar), 27, dari Chukai, Kemaman berkata, dia menjalani hukuman 20 tahun dan 24 sebatan kerana merogol pada 2018.

"Selama ini bukan sahaja tidak pernah membayar zakat fitrah malah tidak mengetahui mengenainya.

"Saya hanya sibuk melayan kepala dengan dadah dan tidak mempunyai pengetahuan mengenai agama langsung.

"Selepas menjalani hukuman selama dua tahun saya mula belajar agama dan menyedari kesilapan serta dosa yang pernah dibuat dulu," katanya.

Tambahnya, dia tidak pernah belajar al-Quran tetapi sekarang sedang mengikuti kelas pengajian al-Quran dan tahfiz.

"Alhamdulillah, dalam tempoh dua tahun ini saya sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar dan berjaya menghafal 15 surah temasuk surah Yasin.

"Ramadan kali ini lebih bermakna kepada saya kerana pertama kali berpeluang membayar zakat fitrah untuk diri sendiri.

"Walaupun tiada paksaan tetapi kesedaran itu datang apabila mengetahui tujuan zakat fitrah itu dikeluarkan selain ganjar besar yang Allah sediakan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff berkata, pihaknya tidak memaksa penghuni yang beragama Islam untuk membayar zakat fitrah pada setiap Ramadan kerana tiada kewajiban ke atas mereka.

"Cuma kami hebahkan dan memberi galakkan kepada penghuni yang mempunyai pendapatan dan simpanan hasil pekerjaan yang mereka jalankan di penjara untuk membayar zakat fitrah.

"Kesedaran untuk membayar zakat fitrah itu datang daripada diri masing-masing seterusnya membuktikan mereka semakin berubah ke arah yang lebih baik," katanya pada Majlis Penyerahan Zakat Fitrah Penghuni Penjara Marang kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) di Penjara Marang, hari ini.

Menurutnya, 500 penghuni yang membayar zakat fitrah pada tahun ini berbanding 337 penghuni, tahun lalu.

"Kami menyasarkan 700 penghuni yang membayar zakat fitrah pada tahun hadapan dan berharap lebih ramai penghuni yang berkemampuan tampil seterusnya menjadi contoh kepada penghuni yang lain," katanya.

Pada majlis itu, Wan Sani menyerahkan zakat fitrah penghuni Penjara Marang berjumlah RM2,520 kepada Wakil MAIDAM Marang Muezzul Lizam Abdul Halim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2020 @ 12:01 PM