FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Dalam tempoh 10 hari sehingga semalam, sebanyak 68 notis dikeluarkan terhadap peniaga ayam di Kelantan atas pelbagai kesalahan termasuk kenaikan harga melampau.

Notis itu dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 menerusi Op Pasar dan Op Catut 8.0.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Adnan Abd Rahman berkata, notis itu bagi mendapatkan penjelasan daripada peniaga mengenai kenaikan harga termasuk bukti pembelian menerusi pembekal.

"Peniaga diberi masa untuk mengemukakan alasan dengan menyertakan bukti pembelian sebelum kami mengambil tindakan.

"Jika didapati mereka mencatut atau mengambil keuntungan berlebihan, tindakan kompaun boleh dikenakan," katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) di Pasar Raya Mydin di Kubang Kerian, di sini, hari ini.

Adnan berkata, di bawah SHMMP Hari Raya Puasa 2021, harga runcit ditetapkan untuk ayam standard adalah RM7.90 sekilogram.

Beliau berkata, pemantauan berterusan dilakukan 141 pegawai penguat kuasa dan 92 pegawai pematuhan harga akan dijalankan bukan hanya kepada peniaga, tetapi pembekal dan pemborong bagi memastikan pematuhan terhadap harga ditetapkan.

Menurutnya, antara barangan tersenarai di bawah skim harga itu ialah ayam hidup, telur, daging lembu tempatan dan import, ikan kembung, tongkol dan selayang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 April 2021 @ 5:53 PM