Anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemantauan harga ayam yang dijual pada harga kawalan RM7.90 sekilo di Pasar Chow Kit. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Anggota penguatkuasa KPDNHEP melakukan pemantauan harga ayam yang dijual pada harga kawalan RM7.90 sekilo di Pasar Chow Kit. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang bermula hari ini dipatuhi peniaga.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Jalan Raja Bot mendapati, peniaga di pasar berkenaan mematuhi skim harga ditetapkan itu.

Seorang peniaga ayam, Fadzil Ibrahim, 58, berkata, walaupun penetapan harga itu memberi kesan dari segi keuntungan, dia bersama peniaga lain masih boleh meneruskan perniagaan.

Katanya, ayam dijual pada harga antara RM7.90 hingga RM8.50 sekilogram seperti mana ditetapkan semalam.

Bagaimanapun, dia berharap pembekal tidak menaikkan harga yang boleh menjejaskan peniaga di pasar sepertinya.

"Untung berniaga ayam dengan harga ini sekitar RM0.30 sen saja. Harapnya pembekal tidak menaikkan harga sehingga kami pula rugi.

"Setakat ini, untung hanya sedikit dan kalau harga ditetapkan ini naik lagi, saya rasa itu lebih baik," katanya yang berniaga di pasar berkenaan sejak 21 tahun lalu.

Bagi seorang pengguna, Abdul Rahman Abu Bakar, 58, dia memilih untuk membeli barangan di kedai sama bagi mengelakkan kerugian.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu, dia hanya membeli di tempat sama selain mengenali peniaga di situ dan itu memudahkan dia dan isteri berbelanja setiap hari.

"Isu kenaikan harga barang ini setiap tahun berlaku terutamanya ketika Ramadan dan Aidilfitri.

"Jadi selain pengenalan skim, mungkin kerajaan perlu memastikan penguatkuasaan berterusan bagi mengelakkan ada yang mengambil kesempatan," katanya.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan 12 jenis barangan bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021, bermula hari ini.

Antara barangan yang tersenarai dalam SHMMP termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Ia dilaksanakan sebagai langkah menyekat kenaikan harga keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:34 PM