Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Pengguna menarik nafas lega apabila pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP), yang berkuat kuasa mulai hari ini menyebabkan harga barang keperluan terutama ayam kembali turun.

Tinjauan di pasar basah di kawasan Tampoi dan Skudai mendapati pengguna yang ditemui berpuas hati dengan langkah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan SHMMP lebih awal tahun ini berbanding menjelang perayaan sebelum ini.

Pekerja swasta, Hidayah Abd Wahab, 43, berkata, dia lega apabila harga barang keperluan kembali turun selepas naik mendadak sejak sembilan hari lalu.

"Alhamdulillah, lega apabila lihat harga ayam RM7.90 sekilogram (kg) berbanding RM9.50 sejak beberapa hari lalu.

"Agak membebankan apabila harga ayam naik membebankan kerana kebanyakan pengguna memang beli ayam sebagai lauk utama keluarga berikutan harga ikan agak mahal dan mengikut musim," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Ahad lalu, KPDNHEP mengumumkan 12 jenis barangan bawah SHMMP 2021, bermula hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, senarai barang yang diumumkan dalam SHMMP termasuk ayam, telur ayam, daging serta hasil laut seperti ikan tongkol, selayang, kembung dan mabung.

Sementara itu, suri rumah, Nor Azura Sulaiman, 38, pula berharap peniaga meletakkan tanda harga lebih besar dan jelas bagi membolehkan pengguna tahu harga barang jualan terutama yang disenaraikan mengikut SHMMP.

"Saya tak sedar SHMMP mula berkuat kuasa hari ini, namun apabila peniaga ayam maklum harga ayam RM7.90 mulai hari ini baharu saya tahu.

"Harapnya, peniaga gunakan poster tanda harga lebih besar kerana rasanya ramai pengguna tidak sedar, skim kawalan harga sudah dikuatkuasakan selain mengelakkan dimanipulasi peniaga tak bertanggungjawab," katanya.

Sementara itu, peniaga ayam, Marwan Bahrom, 35, turut meluahkan kelegaan apabila SHMMP mula berkuat kuasa.

"Sejak sembilan hari lalu, peniaga ayam termasuk saya dimarahi pengguna kerana menaikkan harga ayam.

"Ada segelintir pengguna enggan percaya harga ayam naik bukan disebabkan peniaga tetapi dari ladang lagi disebabkan harga dedak yang melonjak.

"Namun saya juga bersyukur di sebalik pelaksanaan SHMMP, jualan ayam tahun ini meningkat sekali ganda, jika tahun lalu hendak capai jualan 150 ekor sehari pun susah, namun tahun ini jualan kembali antara 300 hingga 320 sehari," katanya.

PENIAGA meletakkan tanda harga ayam bersih dengan harga RM7.90 sekilogram bagi harga skim kawalan ketika tinjauan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri yang bermula hari ini sehingga 20 Mei 2021 ketika tinjauan di Tampoi, Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan
PENIAGA meletakkan tanda harga ayam bersih dengan harga RM7.90 sekilogram bagi harga skim kawalan ketika tinjauan pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan sempena Aidilfitri yang bermula hari ini sehingga 20 Mei 2021 ketika tinjauan di Tampoi, Skudai, Johor. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 4:01 PM