ANTARA mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Ihsan PGA7
ANTARA mercun dan bunga api yang dirampas. FOTO Ihsan PGA7
Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Tindakan sekumpulan lelaki menyeludup pelbagai jenis bunga api dan mercun bernilai RM22,595 ketika waktu berbuka puasa dikesan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di pangkalan haram Saleh Berek, Jeram Perdah, di sini, semalam.

Pegawai Pemerintah PGA7, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam kejadian 7.37 malam itu, anggota bertugas membuat rondaan bermotosikal sebelum terserempak sekumpulan lelaki sedang memunggah guni putih dan kotak ke dalam sebuah kereta.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran anggota, mereka bertindak melarikan diri ke seberang Thailand menggunakan perahu, manakala seorang lagi suspek lelaki memecut laju kenderaannya dan gagal dijejaki.

"Hasil pemeriksaan lanjut, guni putih dan kotak terbabit mengandungi pelbagai jenis mercun serta bunga api dipercayai diseludup dari negara jiran untuk pasaran tempatan.

"Pihak kami juga mendapati mereka mengaburi mata pihak berkuasa dengan membawa kesemua barangan ini sewaktu umat islam sedang sibuk berbuka puasa," katanya dalam sidang media hari ini.

Azhari berkata, kesemua barangan dirampas dan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan PGA7 merampas 7,429 kilogram (kg) minyak masak bernilai hampir RM30,000 di dua lokasi berbeza di Rantau Panjang, semalam.

"Rampasan pertama membabitkan 3,281kg minyak masak bernilai RM13,124 di pangkalan haram Mat Yeh, manakala rampasan kedua sebanyak 4,148kg berjumlah RM16,592 di Kampung Parit Air, Rantau Panjang.

"Kesemua minyak masak ini dipercayai untuk diseludup ke Thailand susulan permintaan dan nilai yang lebih tinggi di sana. Biasanya, barangan ini 'disimpan' dahulu di lokasi sepanjang Sungai Golok sebelum dibawa seludup selepas merasakan keadaan selamat daripada pihak berkuasa.

"Barangan dirampas dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut, manakala, kedua-dua kes ini disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Bekalan 1961," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 9:38 AM