SIRAJ Jalil. FOTO Arkib NSTP
SIRAJ Jalil. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Tindakan tegas wajar diambil terhadap individu di sebalik penghasilan empat rakaman video yang mempromosikan judi dalam talian seperti tular di media sosial.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil berkata, tidak dinafikan tindakan pelakon video itu salah, namun tindakan sepatutnya diambil ke atas sindiket judi dalam talian yang menghasilkan video promosi itu.

"Mustahil pelakon tidak tahu jalan cerita iklan yang dibuat, tapi bagi saya tindakan mereka itu tidak matang dan hanya mahu mendapatkan bayaran.

"Justeru beri peluang kepada mereka dan jadikannya tauladan kepada masyarakat supaya kejadian sama tidak berulang.

"Apa yang penting adalah dalang di sebalik penghasilan video berkenaan yang pastinya ia dilakukan oleh sindiket judi dan mensasarkan orang Islam," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Mengulas lanjut, Siraj berkata, permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat di negara ini menyebabkan sindiket judi semakin berani mempromosikan judi secara terang termasuk menghasilkan video itu.

"Ini jelas menunjukkan ramai dalam kalangan masyarakat kita yang terjebak dengan aktiviti judi dalam talian. Disebabkan kemajuan teknologi, pemain judi tidak lagi perlu ke premis sebaliknya aktiviti haram itu boleh dilakukan di telefon bimbit tidak kira di mana saja berada," katanya.

Katanya, ia dibimbangi akan meruntuhkan sistem sosial dan memberi kesan buruk kepada generasi muda di negara ini.

Beliau meminta masyarakat lebih peka dan melaporkan sebarang aktiviti perjudian kepada pihak berkuasa supaya tindakan dapat diambil segera sekali gus mengekang aktiviti itu daripada berleluasa.

Terdahulu, tular di media sosial empat video yang mempromosikan kegiatan judi secara dalam talian.

Susulan itu, Polis Dang Wangi menahan 25 individu yang dipercayai terbabit dengan rakaman video berkenaan bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 3:35 PM