Omar Ahmad


Johor Bahru: Tindakan mempromosikan aktiviti perjudian secara dalam talian oleh Instafamous yang mempunyai ramai pengikut di media sosial boleh memberi kesan buruk terutama golongan muda.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada individu yang terjebak dalam judi dalam talian sehingga kehilangan wang yang banyak.

"Jika ada individu berpengaruh atau Instafamous pula yang mempromosikan kegiatan ini, ia boleh memberi kesan buruk.

"Bagaimanapun wujud juga kemungkinan Instafamous itu juga menjadi mangsa apabila gambar mereka disalah gunakan sindiket judi dalam talian untuk menarik perhatian orang ramai," katanya yang dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan bagi memastikan kegiatan itu segera sekat.

Semalam, Harian Metro melaporkan beberapa Instafamous kini dalam radar pihak berkuasa selepas dipercayai terbabit mempromosikan sindiket judi dalam talian dan kasino.

Sindiket dikatakan sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi mengupah Instafamous untuk mempromosikan kegiatan mereka dan taktik berkenaan digunakan susulan serbuan berterusan pihak berkuasa ke atas premis mereka.

Sumber berkata, sindiket dipercayai membayar RM1,000 hingga RM3,000 bagi satu video mempromosikan kasino dalam talian yang dimuat naik Instafamous berkenaan.

Berita berkaitan

Instafamous dalam radar

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 January 2021 @ 6:28 PM