GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Hazri A Bakar


Johor Bahru: Beberapa Instafamous kini dalam radar pihak berkuasa selepas dikesan terbabit dalam mempromosikan tawaran sindiket judi dalam talian dan kasino.

Sindiket dikatakan sanggup berhabis puluhan ribu ringgit bagi mengupah Instafamous untuk mempromosikan kegiatan haram mereka dan taktik berkenaan digunakan selepas kegiatan menggunakan premis tidak lagi selamat susulan tindakan berterusan pihak berkuasa sekali gus terpaksa beralih ke media sosial bagi mendapatkan pelanggan.

Akaun Instagram dikendalikan sindiket judi dalam talian bermula sejak tahun lalu yang antara lain menawarkan kasino dalam talian dengan menggunakan foto wanita seksi sebagai menarik perhatian tahi judi dalam kalangan pengguna media sosial itu.

Sumber berkata, sindiket dipercayai membayar RM1,000 hingga RM3,000 bagi satu video mempromosikan kasino dalam talian yang dimuat naik Instafamous berkenaan.

Ia bagi mengambil peluang ke atas jumlah pengikut Instafamous itu yang rata-rata berjumlah antara 100,000 hingga 300,000 orang.

"Bagi memudahkan Instafamous membuat rakaman video, sindiket dipercayai menyediakan skrip untuk menarik perhatian tahi judi dan turut menawarkan pelbagai bonus serta pakej menarik.

"Ada dalam kalangan Instafamous berkenaan adalah pelakon baharu yang turut muncul dalam mempromosikan beberapa produk kosmetik tempatan.

"Akaun Instagram sindiket judi juga memuat naik lebih 10,000 hantaran termasuk video yang dirakamkan oleh Instafamous yang diupah bagi mempromosikan kegiatan yang ditawarkan," katanya.

Katanya, tindakan Instafamous terbabit yang mempromosikan kegiatan judi dalam talian jelas bertentangan dengan Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Instafamous di negara ini sepatutnya tahu apa yang mereka rakamkan dan bukan kemaruk wang semata-mata," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 2:00 PM