GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Polis menahan 20 individu yang disyaki terbabit mempromosi kegiatan judi dalam talian di sekitar Lembah Klang, semalam.

Suspek terdiri daripada 11 lelaki tempatan dan empat wanita tempatan selain warga China (tiga orang); Thailand serta Indonesia (masing-masing seorang) berusia 21 hingga 40 tahun ditahan dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, serbuan dilakukan di sebuah satu unit premis yang dijadikan pusat panggilan judi dalam talian.

Menurutnya, hasil serbuan itu, sebanyak 24 unit Monitor, CPU (13 unit); komputer riba (6 unit) ; perakam video dan router masing-masing (satu unit) dirampas.

"Hasil pemeriksaan awal mendapati adanya unsur mempromosikan perjudian dengan menggunakan laman sesawang yang diberikan oleh suspek.

"Semua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan, pengurus, penyelia operasi yang akan memberikan panduan cara-cara perjudian dan memberi khidmat bantuan menjawab persoalan atau permasalahan daripada pemain.

"Mereka akan diberikan gaji antara RM 4,000 hingga RM 10,000 bagi seorang pemain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Amihizam berkata, suspek yang berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan akan mendekati pemain (mangsa) melalui Live Chat, WhatApp dan Telegram.

"Suspek akan menawarkan permainan judi kepada mangsa dan meminta mangsa mendaftar akaun menggunakan laman sesawang yang diberikan.

"Mangsa kemudian akan diarahkan memasukkan wang RMB ke dalam akaun e-wallet yang diberikan dan setelah wang

dimasukkan, sindiket akan memasukkan nilai kredit ke dalam akaun judi pemain tersebut," katanya.

Menurutnya, seterusnya pemain boleh meneruskan permainan judi itu di mana-mana platform sesawang yang disediakan.

"Sindiket ini mensasarkan mangsa dalam kalangan warga China," katanya.

Amihizam berkata, kesemua suspek telah direman selama tiga hari bagi melengkapkan siasatan.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran di laman sesawang sosial yang tidak jelas dan menjanjikan pulangan yang lumayan.

Katanya, orang ramai diingatkan agar tidak mendedahkan data peribadi atau maklumat perbankan kepada mana-mana individu yang tidak dikenali bagi tujuan mengurus dan mengutip wang taruhan.

"Masyarakat juga boleh membuat semakan nombor telefon dan nombor akaun di laman web htpp://ccid.rmp.gov.my/semakamule terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Sebarang maklumat mengenai sindiket penipuan boleh dilaporkan kepada National Scam Response Center (NSRC) di talian 997 jika anda mempunyai maklumat berkaitan.

"Sebarang jenayah atau aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21460584/0585 atau mana-mana Balai Polis,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2023 @ 11:27 PM