KETUA Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Mount Kiara, Kuala Lumpur, hari ini, yang dipercayai dijadikan sebagai pusat mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China.
KETUA Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar menunjukkan antara barang yang dirampas dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Mount Kiara, Kuala Lumpur, hari ini, yang dipercayai dijadikan sebagai pusat mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Satu sindiket yang dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China menjadikan kondominium mewah di Mount Kiara, di sini, markas operasi.

Bagaimanapun taktik itu terbongkar susulan serbuan dilakukan empat pegawai serta 10 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di lokasi itu jam 2.30 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya menahan 11 lelaki serta seorang wanita warga China berusia antara 25 hingga 45 tahun dalam serbuan itu.

"Ketika serbuan dilakukan, kami mendapati semua suspek sedang sibuk mengendalikan komputer riba masing-masing di ruang tamu rumah berkenaan.

"Pemeriksaan mendapati terdapat aktiviti dipercayai mempromosikan kegiatan judi dalam talian di China dilakukan semua suspek itu.

"Dalam serbuan itu, kami turut merampas beberapa komputer riba serta telefon bimbit yang dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan," katanya.

Anuar berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu baru beroperasi di kediaman berkenaan sejak dua minggu lalu.

"Modus operandi sindiket ini adalah mempromosikan kegiatan judi dalam talian menggunakan media sosial iaitu WeChat kepada pelanggan di China.

"Pemeriksaan di dalam rumah ini turut menemui banyak bekalan makanan dan minuman dipercayai bagi keperluan semua suspek yang tinggal di rumah berkenaan.

"Semakan dilakukan mendapati sindiket itu dipercayai menyewa rumah berkenaan dengan bayaran RM3,000 hingga RM5,000 sebulan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung dalang sindiket berkenaan yang dipercayai individu tempatan.

"Semua suspek yang tidak mempunyai pasport dibawa ke IPD Brickfields untuk siasatan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Akta Imigresen 1959/1963," katanya.

Beliau menegaskan bahawa pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menjalankan kegiatan judi dalam talian di daerah ini.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan aktiviti judi dalam talian di daerah ini boleh menghubungi talian hotline IPD Brickfields di talian 03-22979222 untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:14 PM