NOORZAINY meninjau kerja pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang terbabit judi loteri awam haram di Sungai Dua. FOTO Nur Izzati Mohamad.
NOORZAINY meninjau kerja pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang terbabit judi loteri awam haram di Sungai Dua. FOTO Nur Izzati Mohamad.
Nur Izzati Mohamad


BERSELINDUNG di sebalik pelbagai kegiatan ekonomi dan kerap berpindah-randah, antara modus operandi digunakan sindiket loteri awam haram di Butterworth hingga mengaut untung antara RM1,000 hingga RM5,000 sehari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, sindiket itu bagaimanapun tidak bertahan lama selepas pihaknya berjaya membongkar operasi haram itu hingga tertangkapnya 33 individu berusia 20 hingga 40-an.

Katanya, semua suspek juga sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Sepanjang 2019 hingga Jun 2020, pihak kami melancarkan 26 serbuan dan daripada jumlah itu sembilan premis dikesan melakukan kegiatan judi loteri awam haram dengan bersembunyi di sebalik pelbagai aktiviti perniagaan.

"Seramai 33 individu terdiri daripada 29 lelaki dan empat wanita ditahan yang mana mereka semua sudah didakwa di mahkamah," katanya ditemui selepas operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis judi loteri awam haram di Sungai Dua, Butterworth, hari ini.

Noorzainy berkata, selain mendakwa pesalah, pihak polis dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengambil tindakan dengan memotong bekalan elektrik premis terbabit dengan kegiatan berkenaan.

"Didapati kebanyakan mereka yang menjalankan kegiatan judi terbabit memperoleh hasil lumayan antara RM1,000 hingga RM5,000 sehari dan ada premis yang sebelum ini pernah diserbu, tetapi masih lagi tidak serik.

"Berikutan itu, polis akan meningkatkan pemantauan dan serbuan dari semasa ke semasa bagi memastikan kegiatan dapat dibanteras sepenuhnya," katanya yang memberitahu pemotongan elektrik mengikut Seksyen 21A(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau meminta bantuan orang awam dalam membanteras kegiatan itu dengan menghubungi pihaknya jika mempunyai maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 4:13 PM