Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Orang ramai perlu mendapatkan surat kebenaran pergerakan baharu sempena pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan tujuh daerah di negeri ini yang berkuatkuasa hari ini.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, jika masih menggunakan surat kebenaran untuk pergerakan sebelum ini, pihaknya bimbang akan berlaku salah guna.

"Jika surat itu masih sah, kita nasihatkan supaya mereka mendapatkan yang baharu kerana selain sudah lusuh, ia juga berbentuk salinan dan bukannya asal, kita khuatir akan ada yang mengambil kesempatan.

"Mungkin mereka akan gunapakai borang lama kerana seperti mana yang kita maklum, kalau pergerakan untuk perniagaan, kita benarkan sebab untuk menjana ekonomi.

"Bagaimanapun jika masih berdegil (dapatkan surat kebenaran baharu), kita akan kenakan tindakan kompaun," katanya kepada pemberita di sekatan jalan raya bawah Jambatan Sultan Yahya Petra di sini, hari ini.

Foto hiasan
Foto hiasan

Beliau berkata, sekatan sempena PKP kali ini akan diperketatkan selaras dengan saranan pengurusan tertinggi yang hanya membenarkan kes tertentu sahaja dibenarkan membuat pergerakan rentas daerah atau negeri.

Katanya lagi, ia bagi mengelakkan berlakunya pemalsuan dokumen atau sebagainya dan diharapkan orang ramai dapat mematuhi syarat dikenakan.

"Sebab itu pemeriksaan di sekatan jalan raya kali ini diperketatkan dan saya harap orang ramai tidak merungut jalan raya sesak kerana memang tugas kita menyekat kenderaan yang tidak ikut peraturan," katanya.

Terdahulu beliau membuat pemantauan di hari pertama pelaksanaan PKP di samping mengambil kesempatan bersahur bersama petugas barisan hadapan di sekatan jalan raya berkenaan.

Dalam perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, mukim Wakaf Bharu, Tumpat yang juga bermula hari ini sehingga 29 April nanti, Shafien berkata, seramai 30 anggota polis dengan dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ditugaskan di lokasi itu.

Beliau berkata, sebelum diisytiharkan PKPD lagi pihaknya sudah menjalankan sekatan supaya tiada pergerakan keluar masuk di sekolah terbabit.

"Kawasan itu agak mudah dikawal kerana sekelilingnya memang berpagar dan seramai 15 anggota penguatkuasa ditugaskan setiap shif dalam tempoh 24 jam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 April 2021 @ 8:16 AM