Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Alor Setar: Diarah patah balik dan kompaun RM1,000 akan dikenakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mempunyai surat kebenaran polis ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, tindakan serius terpaksa dilakukan kerana pihaknya tidak mahu ada yang cuba mengambil kesempatan masuk ke Alor Setar tanpa kebenaran sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata, daerah ini suatu ketika dulu pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan tidak mahu ia berulang.

"Dulu kita hanya mengarahkan pengguna yang tidak mempunyai surat kebenaran merentas negeri berpatah balik tapi kali ini kita kompaun RM1,000 dan arah mereka patah balik," katanya ketika ditemui sewaktu meninjau SJR di Plaza Tol Alor Setar Utara, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, tiga SJR didirikan di Plaza Tol Alor Setar Utara, Plaza Tol Alor Setar Selatan dan persimpangan masuk Kepala Batas, di sini.

Beliau berkata, hanya satu laluan dibuka iaitu laluan masuk ke bandar raya ini di Plaza Tol Alor Setar Utara, laluan keluar pula di Plaza Tol Alor Setar Selatan dan di Kepala Batas.

"Kita hanya membenarkan perjalanan merentas negeri dengan alasan kukuh dan tidak menerima lagi alasan lain yang tidak boleh diterima.

"Ia bagi membendung penularan wabak Covid-19 memasuki daerah ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri berkata, pasukan pemantau juga akan melakukan pemeriksaan harian dan mengejut bagi memastikan tiada yang melanggar arahan PKPB.

Beliau berkata, pemantauan di Terminal Feri Kuala Kedah juga dilakukan untuk memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Utara. FOTO Mohd Yusni Ariffin
ANGGOTA polis melakukan pemeriksaan berhampiran Plaza Tol Alor Setar Utara. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 January 2021 @ 10:25 AM